Libaran Tidak Dilupakan oleh Zahid: SUHAIMI

SANDAKAN: Ketua UMNO Bahagian Libaran merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir menzahirkan penghargaan dan rasa syukur atas keprihatinan berterusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, terhadap pembangunan luar bandar khususnya di Libaran.

Dalam ucapan sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Libaran 2025 yang dirasmikan sendiri oleh YAB Presiden di Aisyadelia Cottage, Batu 14 Sandakan hari ini, Datuk Suhaimi menyatakan bahawa hasil usaha dan komitmen Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid, pelbagai projek kemudahan rakyat telah mula direalisasikan.

“Sebanyak 12 buah Tabika KEMAS telah dipohon untuk dinaik taraf, dan tujuh daripadanya telah diluluskan serta sedang dalam pelaksanaan. Manakala peruntukan RM1 juta turut telah diluluskan bagi membina semula jambatan di Kampung Batu Putih yang musnah akibat kebakaran,” katanya.

Jelas beliau, perkembangan ini adalah bukti bahawa UMNO tidak pernah melupakan rakyat, dan kawasan Libaran sentiasa menjadi perhatian pimpinan tertinggi.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMNO Libaran menerima pengiktirafan sebagai bahagian kedua tertinggi pertambahan ahli baharu di negara ini, dengan sejumlah 563 ahli baharu didaftarkan dari Julai 2023 hingga Jun 2024. Menariknya, majoriti yang menyertai UMNO merupakan golongan muda dan ini satu petunjuk bahawa perjuangan UMNO terus relevan dan mendapat tempat dalam kalangan generasi baharu.

Dalam nada lebih tegas, Suhaimi turut menyentuh isu kegagalan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyelesaikan isu asas rakyat.

“GRS lahir bukan daripada kekuatan sendiri, tetapi hasil pengkhianatan mandat rakyat kepada BN. Mereka gagal menyelesaikan isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya, malah kadar pengangguran Sabah kekal tinggi,” ujarnya.

Beliau menyeru seluruh perwakilan dan ahli UMNO untuk kekal istiqamah, bersatu dan tidak hilang semangat dalam perjuangan. Dalam ucapan penuh semangat, beliau menyampaikan peringatan bahawa tanpa semangat, perjuangan akan lumpuh sebelum sempat bertempur.

“Hilang beras masih boleh hidup tiga bulan, hilang air boleh bertahan tiga hari. Tetapi kalau hilang semangat , hanya bertahan tiga detik… Tik, Tik, Tik… mati,” katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Suhaimi turut menyeru agar persidangan ini dijadikan medan penyatuan dan bukan medan perpecahan.

“Rapatkan barisan, mantapkan gerak kerja, kukuhkan keyakinan rakyat. Bila UMNO bersatu , UMNO menang. Bila UMNO menang, rakyat senang!” katanya penuh semangat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Ketua UMNO Sabah serta pimpinan tertinggi UMNO dari pusat dan negeri.

Persidangan ini merupakan medan penting bagi UMNO Libaran dalam mempersiapkan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), khususnya bagi memastikan kemenangan di ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen Libaran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles