Suhaimi sokong RMK13, gesa kerajaan tumpu pembangunan Libaran

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, YB Datuk Suhaimi Hj Nasir, menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat kelmarin, sambil menggesa agar keperluan rakyat Libaran yang telah lama dibangkitkan turut diberi keutamaan dalam pelaksanaannya.

Menurut beliau, RMK-13 merupakan pelan pembangunan negara yang amat penting, khususnya dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan memperkasakan kawasan luar bandar seperti Libaran yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan asas.

“Sebagai wakil rakyat Libaran, saya menyokong penuh RMK-13 yang menekankan pembangunan wilayah seimbang dan pemerkasaan luar bandar. Namun begitu, saya menggesa agar cadangan-cadangan pembangunan yang telah beberapa kali saya bangkitkan di Dewan Rakyat tetapi masih belum dilaksanakan, diberikan perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaimi berkata antara cadangan utama yang dikemukakan beliau ialah pembinaan sebuah hospital baharu di Libaran untuk menampung keperluan kesihatan penduduk yang kini bergantung kepada Hospital Duchess of Kent Sandakan.

“Pembinaan dan naik taraf bangunan sekolah rendah kepada struktur konkrit penuh, melibatkan 11 buah sekolah termasuk SK Jaya Bakti, SK Sungai Tiram, SK Gum-Gum Batu 16, dan SK Nunuyan. Pembinaan sekolah menengah baharu SMK Gum-Gum 2 bagi mengurangkan kesesakan dan memenuhi pertambahan pelajar.

“Projek Jalan Bypass Libaran sebagai laluan alternatif yang mampu melancarkan trafik dari pusat bandar ke kawasan luar bandar. Projek jambatan baharu serta naik taraf jambatan usang, khususnya di kawasan kampung yang masih menggunakan jambatan kayu”, katanya.

Beliau menambah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih Fasa 2 bagi menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Pembinaan masjid baharu dan naiktaraf jalan kampung utama, termasuk laluan penting Jalan Tinusa ke Mangkalinau.

“Pemasangan lampu jalan di lokasi-lokasi gelap, bagi menjamin keselamatan penduduk. Pembinaan bangunan baharu Pejabat KEMAS Libaran untuk memperkukuh aktiviti komuniti dan pendidikan awal.

“Pembinaan balai polis baharu di Ulu Dusun, Pekan Muhibbah Rancangan Sungai Manila dan Batu 8 untuk meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan”, katanya.

Suhaimi turut menegaskan bahawa pembangunan kawasan luar bandar tidak boleh lagi dipandang ringan dan mesti diberi keutamaan agar rakyat Sabah, khususnya di Libaran, tidak terus tertinggal dalam arus kemajuan nasional.

“Saya akan terus komited memperjuangkan hak dan keperluan rakyat Libaran. Kerajaan mesti memastikan bahawa pelaksanaan RMK-13 benar-benar menyentuh kehidupan rakyat biasa,” katanya lagi.

Beliau menyeru seluruh warga Libaran untuk terus memberi kerjasama demi menjayakan RMK-13 ke arah Malaysia yang lebih sejahtera, adil dan inklusif.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles