KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah meminta pihak berkuasa menyegerakan siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, yang meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.
Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar tingkatan satu, yang berasal dari Sipitang, ditemui kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari keesokan harinya.
Ketika membahas Rang Undang‑Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat semalam, Matbali berkata waris pelajar berkenaan telah beberapa kali memohon kepada pihak berkaitan agar menyegerakan siasatan terhadap kes itu.
Katanya, mereka turut meminta supaya laporan siasatan itu dimaklumkan kepada mereka bagi merungkai secara tuntas kes berkenaan.
“Jika adanya unsur jenayah dalam kes ini, maka mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan,” katanya, sambil merujuk beberapa laporan yang mengaitkan isu berkenaan sebagai kes buli.
Matbali berkata turut mencadangkan beberapa tindakan sebagai langkah menangani isu buli dalam kalangan pelajar.
Ia termasuk menubuhkan Unit Khas Anti-Buli di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang bukan hanya menunggu laporan, tetapi turun padang secara berkala, menyelidik, memantau dan mendengar suara pelajar.
Katanya, kes Qairina adalah sebuah kisah tragis yang masih mengalirkan air mata di Sabah, dan meninggalkan luka hati yang paling dalam.
“Lebih menyayat hati, kes ini hanya mendapat perhatian setelah segalanya terlambat,” katanya.
Di penghujung perbahasan itu, Matbali turut membacakan Alfatihah buat Qairina, dan dengan harapan agar dari keperitan kisahnya lahir kesedaran supaya ia tidak berulang lagi.
Kes kematian pelajar itu menjadi tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.