TAWAU: Penggunaan lambang dan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) oleh parti-parti sekutu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dianggap sebagai langkah strategik yang berani namun tetap menuntut ketelusan dan disiplin politik, kata penganalisis politik negeri, Mohd. Zaki Harry Susanto.
Menurut beliau, strategi itu bukan sahaja menonjolkan kekuatan GRS sebagai tunjang utama politik tempatan, malah memberi laluan kepada parti-parti sekutu untuk memperoleh sokongan pengundi melalui jenama politik yang lebih dikenali dan stabil.
“Dalam konteks politik Sabah yang penuh warna-warni dengan pelbagai parti kecil dan tokoh bebas, penggunaan satu lambang dapat mengelakkan pertandingan sesama sendiri. Ia memberikan mesej kesatuan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya hari ini.
Tambah Zaki lagi, manfaat besar bakal diraih oleh GRS sekiranya pendekatan ini dilaksanakan dengan teliti dan inklusif.
“Setiap calon yang bertanding menggunakan logo GRS akan menyumbang kepada pengukuhan pengaruh gabungan tersebut, baik dalam Dewan Undangan Negeri mahupun dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.”
Namun, Zaki turut memberi peringatan bahawa strategi ini juga mengundang risiko terutama kepada parti sekutu yang mungkin terpaksa mengorbankan identiti asal mereka demi kelangsungan dalam PRN.
“Apabila calon bertanding atas lambang GRS, pengundi akan mengenali mereka sebagai sebahagian daripada GRS, bukan daripada parti asal. Ini boleh melemahkan kekuatan parti itu dalam jangka panjang jika tidak ditangani secara strategik,” jelasnya.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya pemilihan calon yang benar-benar berintegriti dan setia kepada semangat gabungan.
“Jika GRS terlalu terbuka kepada sesiapa sahaja menggunakan logonya tanpa tapisan ketat, kita mungkin menyaksikan episod penarikan atau peralihan sokongn selepas PRN. Maka perlu ada piagam kesetiaan atau perjanjian politik yang mengikat.”
Secara keseluruhan, Zaki menyifatkan penggunaan logo GRS sebagai satu senjata politik yang berkesan, namun perlu disusuli dengan disiplin organisasi dan kawalan kualiti terhadap calon-calon yang mewakili jenama GRS di atas kertas undi.
“Ini bukan soal lambang semata-mata, tetapi soal kepercayaan rakyat terhadap siapa yang benar-benar membawa suara Sabah,” katanya lagi.