Kerjasama parti nasional dan tempatan diyakini stabilkan politik Sabah – Salleh

KOTA KINABALU: Pendekatan kerjasama antara parti nasional dan parti tempatan dilihat sebagai jalan yang lebih stabil dan berdaya tahan, terutama dalam negara  yang mengamalkan federalisme.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pendekatan itu menggabungkan kekuatan akar umbi dengan jaringan persekutuan yang lebih luas.

Menurutnya terdapat dua lagi pendekatan lain yang berkisar senario politik Sabah pada ketika ini.

Ini termasuk gabungan yang terdiri daripada parti-parti tempatan sahaja parti nasional tanpa penglibatan parti tempatan, katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga ADUN Usukan berkata terdapat dua pendekatan berbeza yang berkaitan isu hak Sabah (MA63).

“Satu pihak cenderung memilih slogan keras dan pendekatan konfrontasi.

“Satu lagi pihak memilih jalan rundingan dan proses yang tersusun,” katanya.

Beliau berkata rundingan mungkin perlahan, tetapi ia telah mula menunjukkan hasil.

 “Kemajuan sedang berlaku, walaupun tidak selalu kelihatan secara langsung.

“Perjuangan menuntut hak Sabah di bawah MA63 bukan milik mana-mana parti politik semata-mata. 

“Ia adalah hak dan harapan seluruh rakyat Sabah — tanpa mengira latar belakang, kepercayaan atau kecenderungan politik,” katanya.

Bekas menteri persekutuan itu berkata perjuangan sebenar bukan tentang siapa paling lantang bersuara.

“Tetapi siapa yang benar-benar mampu membawa hasil yang bermakna kepada rakyat.

“Yang paling penting ialah memilih pendekatan yang membawa kesan nyata — yang mengukuhkan institusi, mempertahankan hak negeri, dan membawa perubahan jangka panjang,” tambah beliau.

Menurut Salleh, Sabah kini dahagakan pembangunan yang benar-benar boleh dirasai. 

“Bukan sekadar angka atas kertas, tetapi perubahan yang menyentuh kehidupan seharian — jalan raya yang lebih baik, peluang pekerjaan yang wujud, dan kemudahan asas yang menyeluruh.

“Rakyat juga tidak hanya mahu diberi pancing. Mereka mahu tahu di mana letaknya ikan, bagaimana mencarinya, dan bagaimana menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil. Yang mereka cari ialah kemajuan yang terbukti dan masa depan yang diyakini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles