KUDAT: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) merayu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mengkaji semula pelaksanaan Tuntutan 25 kilometer garis lurus di Sabah.
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien
berkata pelaksanaan tuntutan 25km mengikut garis lurus tidak wajar digunapakai di negeri ini kerana keadaan muka bumi yang berbukit dan kemudahan infrastuktur seperti jalan raya masih kurang.
“Sebagai contoh guru yang bertugas di SK Penimbawan Tuaran…terdapat dua cara untuk ke sana iaitu memakai perahu ikut sungai yang mengambil masa antara 10 dan 15 minit bergantung kepada keadaan cuaca.
“Cara kedua ialah menggunakan kereta ikut jalan raya sejauh 78km. Ini bermakna pelaksanaan tuntutan 25km tidak sesuai dikuatkuasakan secara ketat.
“Selepas mengambil kira pandangan semua ahli KGKS menerusi program jelajah, kesatuan akhirnya bersetuju untuk merayu,”
katanya.
Murkam berkata demikian selepas menyempurnakan acara Ekspedisi Ilmu KGKS di Dewan Perpustakaan Daerah Kudat pada Rabu.
Beliau menegaskan rayuan itu dibuat susulan aduan beberapa ahli KGKS di Sabah yang mana gaji mereka dipotong atau diminta membayar secara ansuran setiap bulan membabitkan jumlah sehingga puluhan ribu berikutan penguatkuasaan peraturan tuntutan 25km garis lurus.
Tuntutan 25 kilometer garis lurus merujuk kepada jarak maksimum yang dibenarkan untuk tuntutan perjalanan, diukur melalui satu garis lurus (radius) di atas peta, dari tempat kediaman atau penginapan ke tempat bertugas rasmi.
Ini bermaksud jarak yang diambil kira adalah jarak terpendek antara dua titik, tanpa mengambil kira jalan yang berliku-liku atau halangan lain di lapangan.
Dalam hal ini, 25 kilometer ini ditentukan melalui satu garis lurus di atas peta, bukan jarak sebenar yang ditempuh melalui jalan raya.
Murkam berkata berdasarkan maklum balas yang diterima oleh KGKS, ahli berkenaan dikatakan terkejut menerima surat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tanpa perbincangan dan pembelaan, bahawa mereka terus dikenakan arahan pemotongan gaji.
Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu penganiayaan, Murkam berkata KGKS bersimpati dengan situasi yang mereka hadapi.
“Sudah tentu guru-guru terbabit terkesan dan menyebabkan semangat untuk bekerja berkurangan…ada guru terpaksa membuat pinjaman bank, menjual kereta demi untuk membayar hutang yang bukan sepatutnya ditangung sepenuhnya oleh guru tersebut.
“Prosedur Prosedur tuntutan Elaun Perumahan Wilayah (EPW) adalah melalui pegawai meja di PPD untuk membuat pengesahan jarak 25km.
“Setelah sah barulah kerani memproses dan guru besar meluluskan permohonan guru tersebut…sepatutnya sesiapa yang terlibat dalam proses ini harus bertangungjawab dan sama-sama membayar tuntutan ini,” katanya.
Oleh itu, sebagai presiden KGKS yang memperjuangkan kepentingan guru-guru yang bertugas di Sabah, Murkam mendesak pihak berwajib supaya dapat dipertimbangkan rayuan tersebut.
Katanya KGKS juga menuntut wakil JPA dan KPM turun padang mengadakan program “road show” (jelajah) bagi memberi penjelasan terperinci isu 25km garis lurus demi kebaikan senua pihak, sekali gus menyelesaikan isu pemotongan gaji guru secara mengejut.