Wanita Gagasan Rakyat mahu lebih ramai pemimpin wanita bertanding PRN17

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pitas, Ramlah Nasir menyeru agar lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa, berani dan lantang bersuara diberi peluang menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Beliau turut menegaskan bahawa Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda adalah calon terbaik mewakili suara akar umbi wanita Gagasan Rakyat daripada 74 kawasan di seluruh Sabah.

Dalam kenyataan media pada Selasa, Ramlah juga berkata usul tersebut telah dikemukakan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah yang berlangsung pada 27 Julai lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Sebagai Ketua Wanita Gagasan Rakyat Pitas merangkap Ketua Wanita Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pitas, Ramlah turut menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Katanya, kepimpinan Hajiji telah terbukti membawa perubahan ketara dalam pentadbiran negeri dan pembangunan ekonomi Sabah, termasuk memperkasakan peranan wanita melalui pelbagai program dan inisiatif kerajaan.

Beliau juga merakamkan penghargaan atas peruntukan kerajaan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah yang telah memacu pelaksanaan program seperti Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWAN), di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah. Program ini, jelasnya, telah berjaya melahirkan ramai pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang seperti politik, akar umbi, belia serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Inilah bukti nyata bahawa di bawah kepimpinan Hajiji dan kerajaan GRS, martabat wanita Sabah telah diangkat dan diberi keutamaan,” katanya.

Dalam ucapannya, Ramlah turut membawa usul sokongan penuh agar Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas, YB Datuk Seri Dr Ruddy Awah dikekalkan sebagai calon GRS bagi kerusi N3 Pitas pada PRN17, atas dasar rekod prestasi cemerlang beliau dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di kawasan tersebut.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles