KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, telah memberikan kelulusan atau sokongan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd untuk menjalankan aktiviti carigali mineral di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
berkata dakwaan yang dipetik daripada laporan portal MalaysiaNow bukan sahaja bersifat mengelirukan dan tidak lengkap, malah membayangkan niat politik untuk mencemar nama baik kepimpinan tertinggi negeri Sabah.
“Perlu ditegaskan bahawa tiada sebarang lesen mencarigali pernah dikeluarkan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd.
“Perkara ini telah disahkan secara rasmi oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah merangkap Ketua Merinyu Galian Negeri, Datuk Bernard Liew Chau Min, yang menjelaskan bahawa segala kenyataan atau promosi berkaitan lesen oleh pihak tersebut adalah tidak berasas dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa perlombongan negeri.
“Tambahan pula, sebarang aktiviti pencarigalian mineral di Sabah hanya sah selepas mendapat lesen yang dikeluarkan di bawah peruntukan Seksyen 6 dan Seksyen 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nizam, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), sebuah agensi negeri yang berperanan sebagai badan penasihat dalam urusan sumber mineral, telah menyatakan bahawa mereka hanya memberikan kebenaran bersyarat untuk Bumi Suria memohon lesen carigali.
“Namun, kebenaran tersebut telah dibatalkan secara rasmi melalui surat bertarikh 24 Mac 2025, selepas syarikat terbabit gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
“SMM turut menegaskan bahawa MalaysiaNow telah mengetepikan fakta penting ini dalam laporan mereka,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata SMM telah mengeluarkan amaran keras agar mana-mana pihak tidak mengulangi atau merujuk laporan MalaysiaNow yang disifatkan sebagai palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.
“Agensi tersebut juga menyatakan akan meneruskan tindakan saman fitnah terhadap portal berkenaan, termasuk terhadap pihak-pihak yang terbabit menyebarkan dakwaan tidak benar.
“Rakaman audio yang disiarkan oleh MalaysiaNow turut menimbulkan persoalan besar apabila suara yang dikaitkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif SMM dikenal pasti secara salah. Ini mencerminkan satu lagi cubaan untuk mengelirukan rakyat Sabah dengan menanam persepsi negatif terhadap agensi kerajaan dan pimpinan negeri.
“Naratif yang cuba dibina adalah bersifat spekulatif, sensasi, dan dilihat sebagai sebahagian daripada percaturan politik tidak bertanggungjawab,” katanya.
Kerajaan Negeri Sabah berpendirian tegas dalam memastikan setiap permohonan berkaitan sumber asli negeri ini melalui proses saringan yang telus, berasaskan undang-undang, dan bebas daripada sebarang unsur salah guna kuasa, katanya.
Malah, Nizam berkata tindakan tegas yang telah diambil terhadap syarikat yang gagal mematuhi syarat seperti dalam kes ini adalah bukti bahawa tiada kompromi terhadap integriti pentadbiran negeri.
“Kami menyeru rakyat Sabah untuk menilai isu ini secara rasional dan berdasarkan fakta sebenar, bukan melalui rakaman atau laporan bersifat berat sebelah yang penuh dengan unsur persepsi dan manipulasi.
“Tuduhan yang dilemparkan kepada YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri ini muncul dalam waktu yang sangat mencurigakan, ketika Sabah berada di landasan pembangunan yang progresif menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Gagassn Sabah berkata kerajaan negeri kekal komited mempertahankan integriti pentadbiran, menjunjung prinsip ketelusan, dan menolak segala bentuk fitnah yang cuba menggugat kestabilan negeri.
“Fokus kita tetap kepada usaha memajukan Sabah, memperkasa rakyat, dan memastikan hasil negeri dimanfaatkan secara adil dan bertanggungjawab,” katanya