Wetrom yakin Ranau akan jadi kubu kuat KDM

RANAU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yakin Ranau akan menjadi kubu kuat mereka terutama di Kundasang pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda berkata, ini berdasarkan sambutan luar biasa penduduk Ranau pada siri jelajah ke kawasan-kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya melihat Ranau ini bakal mencipta sejarah, sama seperti di kawasan-kawasan lain yang kita telah jelajah, sokongan semakin meningkat naik kerana rakyat yakin dengan perjuangan yang KDM bawa iaitu untuk mensejahterakan rakyat.

“Dengan sambutan-sambutan yang kita terima, bukan saja di Kundasang, malah di Paginatan dan Karanaan, Ranau akan jadi kubu kuat KDM pada pilihan raya nanti,” katanya ketika berucap sempena pelancaran jentera pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, DUN Paginatan dan DUN Karanaan.

Sementara itu, Wetrom berkata, parti itu juga akan bertanding di kawasan bukan majoriti kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) termasuk di kawasan Cina.

Katanya, ia atas permintaan akar umbi di kawasan-kawasan berkenaan yang mahukan perubahan dan KDM bertanding di situ.

“Sebagai contoh di Sri Tanjong, Tawau, saya ingin umumkan kita akan tanding di sana walaupun majoriti kaum Cina, ini membuktikan mereka percaya KDM mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Memang saya pernah katakan yang kita akan bertanding di kawasan majoriti kaum KDM, tapi kita juga tidak boleh ketepikan permintaan kaum-kaum lain di kawasan mereka, sebab itu parti ini diberi nama Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, parti untuk semua kaum,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles