KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan memberitahu bahawa Pemuda Gagasan Rakyat sudah bersiap sedia dengan jentera untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal tiba pada bila-bila masa.
Katanya, PRN17 adalah sebuah medan perang yang penting kerana hampir 60 peratus pengundi yang bakal menentukan hala tuju Sabah adalah tergolong dalam kalangan belia atau pengundi muda.
“Ini adalah sebuah angka yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa saja kerana 60 peratus anak muda ini adalah pengundi yang kelak akan turun membuang undi, sekaligus membuat pilihan mereka.
“Untuk itu, kita semua, dari Pemuda Gagasan Rakyat sudah sedia dengan jentera, hampir 90 peratus persiapan jentera kita sudah kita susun atur di semua peringkat dan semua 73 bahagian seluruh Sabah.
“Peranan anak muda ini bukan sekadar menentukan hala tuju dan masa depan Sabah, baik dari sudut calon sahaja, tetapi lebih penting adalah dalam ruang atau skop hala tuju kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Sabtu.
Menurut Fairuz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Pemuda Gagasan Rakyat turut digesa untuk mengekalkan tekad dan berusaha lebih keras bagi merancakkan lagi jentera bagi kempen PRN17.
“Rakyat boleh menilai dan melihat semua usaha kerajaan GRS dan untuk itu, saya mahu semua pemuda untuk terus kerja keras, kita tidak mahu fikir soal calon atau apa, tapi yang kita mahu fokus adalah bekerja untuk pastikan kerajaan sekarang dikekalkan.
“Saya mahu semua pemuda, dari peringkat akar umbi, di semua bahagian, pastikan kerja keras kita adalah dengan misi untuk membawa kemenangan dan menyokong kepimpinan Presiden parti merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Jangan persoal hal siapa jadi calon, dapat jadi calon atau tidak, dan semua yang berada dalam skop perbincangan kepimpinan tertinggi parti kerana itu bukan tugas kita, tugas kita adalah bekerja keras, sebagai tulang belakang parti, taburkan bakti kita untuk parti, untuk negeri yang kita cintai ini,” jelas Fairuz lagi.
Terkini, jumlah keahlian Pemuda Gagasan Rakyat di seluruh negeri mencecah jumlah 90 ribu orang.
“Jentera inilah yang kita akan gunakan untuk PRN17 nanti dan kita tunggu arahan seterusnya, bila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kelak,” ujar Fairuz lagi
