PUTATAN: Gangguan bekalan air yang berlaku di daerah ini sejak sebulan lalu, menyebabkan kira-kira 25,000 penduduk berdepan kesukaran termasuk rutin harian mereka terjejas.
Ketika ini, mawasan yang paling terkesan termaasuk Kampung Lok Kawi, Kampung Meruntum, Kampung Pasir Putih, Kampung Petagas, Kampung Ketiau dan Kampung Muhibbah.
EXCO Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sabah, Kanny Chew Ly Choi @ Adamz yang menggesa pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar tidak terus membiarkan isu ini berlarutan tanpa tindakan konkrit.
Menurutnya, sebahagian penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari sumber luar termasuk membeli daripada lori swasta atau air botol di premis berhampiran.
“Bekalan air yang terputus terlalu lama amat menyusahkan rakyat.
“Kami Pemuda PN Sabah mendesak JANS agar segera bertindak atau cari penyelesaian lebih berkesan untuk masalah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Katanya lagi, sebagai usaha membantu penduduk sementara menunggu penyelesaian menyeluruh daripada pihak berwajib, beliau turut menyampaikan bantuan lori tangki air ke Kampung Meruntum.
“Kampung Meruntum salah satu kawasan yang terputus bekalan air.
“Kami turun bantu setakat yang termampu, tetapi ini bukan penyelesaian sebenar.
“Isu ini perlukan campur tangan serius dan tindakan segera pihak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau dala pada itu menyeru agar pelan penyelesaian jangka pendek dan panjang dilakukan segera.
“Tindakan itu bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan masalah yang sepatutnya boleh dielakkan,” tegasnya.