Ewon alu-alukan inisiatif gerakan koperasi laksana CSR

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan inisiatif gerakan koperasi di negara ini melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebagai usaha murni menyumbang kembali kepada masyarakat.

Beliau berkata, koperasi yang berjaya menjana keuntungan besar seharusnya tampil membantu komuniti setempat melalui pelaksanaan program CSR yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Saya mengalu-alukan sebarang niat dan inisiatif daripada koperasi yang berkelebihan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, bukan hanya kepada ahli mereka tetapi juga kepada masyarakat lain yang memerlukan. Ini adalah semangat sebenar gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan Program CSR Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN) di sini, hari ini.

Program CSR itu melibatkan pembinaan dewan komuniti terbuka di Kampung Kaung Ulu, Kampung Bongol, Kampung Kebidahan dan Kampung Bundu Lapak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM200,000.

Ewon berkata, pelaksanaan program seumpama itu menunjukkan keprihatinan koperasi yang bukan hanya memberi tumpuan kepada keuntungan semata-mata, tetapi turut memikul tanggungjawab sosial dan prihatin terhadap keperluan masyarakat luar bandar.

“Saya berharap program CSR KO-KHAWAN ini memberi inspirasi kepada koperasi-koperasi lain, terus berusaha membina kekuatan perniagaan masing-masing seterusnya melaksanakan program CSR,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyokong usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud memberikan taklimat mengenai pencegahan kebakaran dan keselamatan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan sukarelawan bomba di kawasan Kadamaian.

“Ini penting kerana pemimpin kampung adalah barisan hadapan dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan di kampung masing-masing.

“Oleh itu, saya menyokong program-program kesedaran pencegahan bencana dapat diperluaskan di mukim-mukim dan kampung-kampung di sini,” katanya.

Ewon juga menghargai dan menyokong sepenuhnya inisiatif anggota-anggota Jabatan Bomba memperkenalkan inovasi kelengkapan bagi kegunaan operasi mencari dan menyelamat.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Peruntukan Khas Menteri kepada lima persatuan dan kelab di kawasan Kadamaian iaitu Kelab Dart D’Lontupak Kota Belud (RM20,000), Persatuan Wanita Prihatin Kadamaian Kota Belud (RM50,000), Persatuan Wanita dan Keluarga Kota Belud (RM14,500), Persatuan Penduduk Wanita Nahaba Tegudon Kota Belud (RM20,000) dan Badan JKKK Kg.Lobong-Lobong sebanyak RM50,000.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles