Pembinaan Kepayan Square: Ewon sampaikan kanopi kepada 72 usahawan tamu di tapak sementara

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan kanopi kepada 72 usahawan tamu Kepayan Square atau Kepayan Rumah Murah yang akan berpindah sementara ke tapak baharu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan kawasan tersebut.

Selain kanopi, beliau turut menyediakan meja dan kerusi kepada para usahawan tamu yang terlibat dalam pemindahan sementara.

“Pemindahan sementara ini bagi membolehkan pembinaan bumbung atap Kepayan Square serta kerja-kerja yang berkaitan.

“Sebaik dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, saya bekerjasama dengan ADUN Kepayan Datuk Jannie Lasimbang untuk mendapatkan peruntukan bagi menaiktaraf kemudahan di tempat ini.

“Saya melawat tempat ini pada tahun 2023 bersama YB Datuk Jannie dan pegawai-pegawai daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengenalpasti skop pembangunan.

“Seterusnya YB Datuk Jannie dan saya mengutarakan keperluan peruntukan ini kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan saudara YB Nga Kor Ming pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Kanopi kepada Usahawan Tamu, di sini, hari ini.

Ewon berkata, kawasan perniagaan Kepayan Square akan dinaiktaraf menerusi peruntukan sejumlah RM2.4 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, DBKK dan Adun Kapayan.

“KPKT dan DBKK masing-masing akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta, manakala Pejabat ADUN Kapayan akan menambah peruntukan sebanyak RM400,000.

“Saya ucap terima kasih kepada saudara YB Kor Ming di atas peruntukan yang disalurkan kepada DBKK untuk menaiktaraf kawasan ini bermula dengan pembinaan bumbung atap.

“YB Datuk Jannie menyediakan peruntukan selaku ADUN Kepayan untuk menaiktaraf kawasan sementara usahawan tamu. Saya pula menggunakan peruntukan sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk membekalkan kanopi, meja dan kerusi kepada usahawan-usahawan tamu tersebut,” katanya.

Ewon berharap apabila projek ini siap sepenuhnya, ia bukan hanya memberi manfaat kepada para usahawan tamu dan pengunjung tetapi juga kepada pemilik-pemilik kedai sedia ada di kawasan ini dan juga masyarakat setempat yang boleh menggunakan kemudahan ini untuk acara seperti sambutan perayaan Tahun Baru Cina, program-program kerajaan dan pelbagai acara kemasyarakatan lain.

Turut hadir, ADUN Kapayan Datuk Jannie Lasimbang, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi DBKK Robert Lipon dan pemimpin setempat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles