PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melaksanakan 23 siri jelajah Seminar e-Invois Usahawan MADANI di seluruh negara tahun ini, dengan sasaran penyertaan 20,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan pengadaptasian sistem e-Invois dalam kalangan usahawan, yang merupakan langkah awal ke arah penskalaan dan pemodenan operasi PMKS di negara ini.
“Dalam Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) yang akan bermula pada tahun 2026, KUSKOP akan memberi fokus besar kepada agenda penskalaan usahawan PMKS iaitu membangunkan perusahaan kecil menjadi perusahaan sederhana dan perusahaan sederhana menjadi perusahaan yang boleh disenarai di Bursa Malaysia.
“Agenda ini bermula dengan langkah awal usahawan-usahawan PMKS mengadaptasi penggunaan e-invois dalam perniagaan mereka. Saya berharap usahawan melihat ini sebagai satu potensi menskalakan perniagaan mereka.
“Sebab itu KUSKOP melalui agensinya iaitu Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menganjurkan 23 siri jelajah seminar e-invois di seluruh negara pada tahun ini. Selain itu, SME Corp juga bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menjayakan penerimaan dan pelaksanaan e-invois di kalangan usahawan PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar e-Invois Usahawan MADANI di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Haji Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Viviantie Sarjuni, ahli-ahli lembaga INSKEN dan ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ewon berkata, seminar ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian memperkasa usahawan melalui pemahaman dan pematuhan kepada sistem digital, khususnya sistem e-Invois.
“Seiring dengan arus pendigitalan dan aspirasi Malaysia MADANI, pelaksanaan e-Invois merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta memastikan ketelusan dan integriti dalam urus niaga.
“KUSKOP sentiasa komited dalam memperkasa ekosistem keusahawanan negara, termasuk memperluaskan akses kepada ilmu, teknologi dan sokongan perniagaan,” katanya.