PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Bahagian Sipitang, hari ini, menyerahkan sebanyak 3,666 borang keahlian parti itu yang telah lengkap diisi kepada Setiausaha Agung PKDM, Willie Jude Junaidi.
Borang keahlian berkenaan diserahkan Ketua Bahagian PKDM Sipitang, Sani Miasin dalam satu pertemuan ringkas Jawatankuasanya dengan Willie, di Ibu Pejabat PKDM, di sini.
Sani berkata, daripada jumlah 3,666 itu, sebanyak 1,919 adalah daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin manakala 1,747 lagi di DUN Lumadan.
“Ini membuktikan rakyat di Sipitang mula menerima PKDM dan saya yakin penerimaan ini akan berterusan sehingga Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
“Kami di peringkat bahagian akan terus menggerakkan jentera kami untuk menambat hati pengundi di sana dan saya yakin ‘bunga rafflesia’ akan tumbuh dan kembang mekar di kawasan DUN di Sipitang serta Lumadan selepas PRN17 nanti,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, selain menyerahkan borang keahlian, Sani turut menyerahkan profail PKDM Bahagian Sipitang yang kini telah lengkap dibentuk.
Katanya, sebanyak 30 cawangan juga telah dibentuk di DUN Lumadan manakala 25 cawangan lagi di DUN Sindumin.
Dalam pada itu, Willie dalam ucapannya mahu semua bahagian parti itu merapatkan saf dan terus bersatu dalam menghadapi PRN17.
Katanya, sekarang bukanlah masa untuk berpecah hanya kerana berbeza pendapat kerana ia hanya akan menjejaskan kemenangan parti pada pilihan raya nanti.
“Biasalah bila nama parti semakin menaik, ramai yang ingin melobi, tapi saya harap kita kekal ‘misompuru’ (bersatu) kerana perjuangan parti melebihi segalanya,” katanya.