Yang wakil pun bukan ahli KDM, jadi mana datangnya 100 ahli sertai Warisan?

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari jni, menafikan 100 ahlinya di Kemabong menyertai Warisan dalam satu program parti itu, di Keningau, semalam.

Setiausaha Agungnya, Willie Jude Junaidi berkata, Haris Bolos yang kononnya mewakili kumpulan menyertai Warisan itu juga bukan lagi ahli KDM kerana dia telah ‘melompat’ ke Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebelum ini.

Katanya, pihak KDM tidak pernah menerima borang kemasukan semula daripada Haris walaupun dia dilihat muncul dalam beberapa program parti itu.

“Haris sebelum ini pernah keluar KDM dan menyertai Gagasan Rakyat, mungkin dia tidak lagi digunakan di situ dan tiba-tiba muncul dalam beberapa program KDM, yang pastinya dia tidak pernah menyatakan hasrat untuk kembali kepada KDM apatah lagi menyerahkan borang keahlian.

“Jadi di mana asas kononnya dia (Haris) ahli KDM dan menyertai Warisan? Menurut video yang saya tengok juga, pengacara program mengatakan 100 ahli (KDM) menyertai Warisan dan Haris mewakili mereka, bagaimana seorang yang bukan ahli boleh mewakili ahli…ini mungkin hanya cakap-cakap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haris sebelum ini pernah menjadi calon Warisan di Kemabong pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun tewas.

Dia kemudian keluar daripada Warisan untuk menyertai KDM namun tidak lama selepas itu dia ‘melompat’ pula ke Gagasan Rakyat.

Willie berkata, beliau juga telah menghubungi Ketua Penyelaras KDM di Kemabong, Roger Voo yang memaklumkan dakwaan 100 ahlinya menyertai Warisan adalah tidak benar.

“Saya juga ada turun ke Kemabong baru-baru ini dan menerima ratusan borang keahlian baharu termasuk yang mendakwa dari parti itu (Warisan), tetapi bagi saya tidak kisahlah mereka dari mana pun, yang penting keikhlasan mereka untuk sertai pejuangan KDM,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles