KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan hukuman berat terhadap pelaku kes buli di negeri ini.
Presiden KGKS Gundohing Murkam Hj Hussien berkata ini penting memandangkan
gejala buli kini semakin menjadi-jadi dalam masyarakat, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun siber.
“Nampaknya kes buli fizikal melibatkan pelajar masih terus berlaku tanpa penyelesaian tuntas.
“Terkini, seorang pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah,” katanya.
Murkam berkata KGKS memandang serius kes buli dan berharap budaya buli dapat dibendung.
“Kita mahu pelaku dapat ditangkap dan dikenakan tindakan yg sewajarnya…nyawa tidak dapat diganti.
“KGKS mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah, dan KGKS akan membantu dan memastikan kelancaran siasatan kes ini,” katanya.
Murkam berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan polis
untuk mengetahui perkembangan semasa kes tersebut.
“Kita juga menyediakan sesi kaunseling kepada keluarga memandangkan ibu arwah adalah ahli KGKS,” katanya.