SANDAKAN: Kampung Karamunting Baru kini selangkah lebih dekat untuk diwartakan secara rasmi sebagai kampung baharu selepas permohonan mewartakan tanah seluas 15.56 ekar telah diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting,Datuk George Hiew Vun Zin berkata, permohona tersebut melibatkan pewartaan kampung dan pemberiangeran tanah.
Ia telah dihantar secara rasmi oleh wakil kampung bersama seorang peguam dari pejabat MP Batu Sapi YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
“Kami, bersama Ketua Kampung, JKKK dan wakil penduduk telah menyerahkan permohonan tersebut secara rasmi. Semuanya berjalan lancar dan mendapat kerjasama penuh dari semua pihak,” katanya.
Menurut George, proses ini hanya dapat bermula selepas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson, menyerahkan tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk tujuan pewartaan.
George merakamkan penghargaan terhadap Walter atas komitmen dan usaha beliau dalam mempercepatkan proses ini.
“Saya benar-benar berterima kasih kepada Walter Kenson kerana banyak membantu mempercepatkan urusan dam memberi kerjasama dan sokongan penuh dalam usaha menyelesaikan masalah pewartaan ini,” kata George.
Beliau turut memaklumkan bahawa semasa sidang DUN minggu lalu, beliau dan Presiden MPS telah membincangkan perkara ini dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyatakan sokongan penuhnya terhadap usaha tersebut.
“Ketua Menteri amat menyokong dan berharap agar proses ini dapat disegerakan demi kesejahteraan penduduk Kg Karamunting Baru. Tanah ini juga telah diukur dengan baik, dan segala urusan berjalan lancar,” katanya.
George berharap akan Kampung Karamunting Baru akan dapat diwartakan sebagai kawasan perkampungan secepat mungkin.