PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyampaikan watikah pelantikan kepada Haji Rahman Mohd Din yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dan Noor Afifah Abdul Razak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Majlis ringkas penyampaian watikah itu diadakan sebelum mesyuarat pasca kabinet bagi KUSKOP, di sini, hari ini.
Sebelum ini Rahman menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, menggantikan Noor Afifah yang dilantik sebagai CEO SKM.
Lantikan kedua-dua mereka berkuatkuasa 14 Julai lalu.
Ewon mengalu-alukan pelantikan itu dan berharap mereka dapat memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komitmen, bagi memastikan kejayaan visi dan misi kementerian dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi ke peringkat lebih tinggi.
“Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran mereka dalam pentadbiran awam sebelum ini, mereka mampu membawa perubahan serta memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi negara.
“Saya juga berharap kedua-dua mereka dapat meneruskan kecemerlangan di kementerian dan SKM untuk sama-sama menjayakan agenda dasar keusahawanan negara,” katanya.
Sementara itu, Noor Afifah merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi beliau merupakan wanita pertama dilantik menerajui SKM sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Haji Rahman turut merakamkan ucapan terima kasih dan berazam untuk terus menyokong agenda pembangunan usahawan dan koperasi melalui peranan baharunya di peringkat dasar dan pemantauan.