KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) cawangan Sabah menghargai usaha Persatuan Penjagaan Paliatif Kota Kinabalu dalam membela nasib pesakit kanser.
Pengerusinya David Chan berkata yayasan itu juga mengambil maklum peranan yang dimainkan Unit Penjagaan Paliatif di Kota Kinabalu, terutama daripada segi penjagaan perubatan yang cemerlang, penuh belas kasihan, dan sokongan moral yang diberikan kepada pesakit kanser tahap akhir.
“Kami amat menghargai dedikasi serta usaha gigih para doktor, jururawat, dan semua kakitangan kesihatan yang berkhidmat dengan penuh empati dan komitmen dalam menghadapi situasi yang mencabar.
“Tugas mulia ini bukan sahaja meringankan penderitaan pesakit, tetapi turut memberi ketenangan kepada ahli keluarga mereka dalam saat-saat yang paling sukar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, David berkata YPNM menyeru orang awam dan pihak swasta untuk turut menyokong inisiatif amal yang bakal dianjurkan bagi menaik taraf kemudahan Unit Penjagaan Paliatif dan meningkatkan rawatan perubatan untuk pesakit yang memerlukan.
“Setiap sumbangan, besar atau kecil, mampu memberi perubahan bermakna demi memastikan pesakit di hujung hayat mereka menerima layanan yang bermaruah dan penuh kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata yayasan itu turut menghargai seluruh pasukan penjagaan paliatif – terutama para doktor dan jururawat – atas komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap misi yang mulia itu
“Marilah kita bersama menyokong dan mengangkat jasa wira penjagaan paliatif yang tidak ternilai ini,” katanya.