Seluas 15,000 hektar Hutan Simpan di Sipitang dikeluarkan untuk penempatan penduduk – Dr Yusof

SIPITANG: Sebanyak 15,000 hektar tanah dalam kawasan Hutan Simpan membabitkan penempatan 10 kampung telah dikeluarkan dari kawasan Hutan Simpan.

Ia menerusi Pindaan Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan pindaan) 2025 yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia sejajar dengan permohonan dibuat penduduk kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan kawasan yang telah diteroka untuk penempatan dan aktiviti pertanian dalam kawasan hutan simpan.

“Kawasan diteroka itu dikeluarkan dari Hutan Simpan bekas kawasan Sabah Forest Industri sampai ke Kemabong Tenom seluas 15,000 hektar atau 40,000 ekar.

“Ada beberapa kampung yang belum diluluskan lagi saya akan uruskan untuk diambil perhatian oleh kerajaan negeri,” katanya pada Program Penyerahan Sumbangan Tunai Rahmah di Kampung Long Pasia, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya Datuk Ramlee Kariah.

Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad berkata, kampung tersebut adalah Pakiak, Sungai Kanggalan, Motokop, Ulu Babatan Pangi, Basio Anampul nanahas, Simbuan, Sungai Lukutan, Lamparion, Batu Nundok dan Komadang.

Justeru itu, beliau mahu kawasan sepanjang jalan ini diteroka terutama diberi kepada generasi baru yang belum ada tanah dan melaksanakan aktiviti pertanian.

Menurutnya, keputusan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan Plus membuktikan keluhan dan permintaan rakyat diutamakan untuk kesejahteraan hidup.

Pada majlis sama, Dr Yusof turut mengumumkan kelulusan tiga projek untuk kemudahan penduduk Kampung Long Pasia.

Ia membabitkan membina parit konkrit keliling Dewan Terbuka Long Psia, Naik Taraf Dewan Terbuka Long Pasia dan Membina Jambatan Baharu Kampung Long Pasia.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles