Koperasi Dakata terima RM100,000 bagi Projek SejaTi Madani, jadi contoh koperasi belia

PENAMPANG: Koperasi Pembangunan Dakata Sabah Berhad (DAKATA) menerima peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Program SejaTi Madani bagi melaksanakan projek ternakan ikan talapia, di Kampung Kiranau Inobong, di sini.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan diselia oleh ANGKASA Sabah yang turut menjadi pemantau pelaksanaan projek koperasi berkenaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi itu yang dianggotai golongan belia wajar dijadikan contoh kepada golongan belia di negara ini khsusunya di Sabah untuk turut sama bergiat dalam perniagaan menerusi koperasi.

“Saya berbangga melihat koperasi ini diterajui dan dianggotai oleh golongan belia. Ini juga selaras dengan hasrat saya dan kerajaan untuk menggalakkan dan melihat lebih ramai anak muda terlibat dalam gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat projek koperasi berkenaan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan ANGKASA Sabah.

Ewon berkata, koperasi itu yang baru ditubuhkan pada tahun lalu, bukan sahaja aktif dalam projek penternakan ikan tetapi turut menjalankan aktiviti penanaman halia dan cili secara fertigasi serta menyediakan perkhidmatan rumah tumpangan.

“Kementerian akan terus memberi sokongan terhadap pembangunan koperasi belia seperti Koperasi Dakata agar terus maju dan menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara ini.

“Saya juga berharap koperasi ini akan menjadi inspirasi kepada belia lain untuk melihat koperasi bukan sekadar organisasi tetapi sebagai platform menjana pendapatan dan memperkukuh ekonomi komuniti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang turut menyampaikan sumbangan melalui peruntukan Ahli Parlimen kepada dua koperasi iaitu Koperasi Putaton Jaya Berhad sebanyak RM20,000 dan Koperasi Tampasak Berhad sebanyak RM10,000 sebagai sokongan kepada aktiviti perniagaan koperasi masing-masing.

“Sumbangan ini adalah komitmen saya seperti yang saya nyatakan semasa merasmikan mesyuarat agung Koperasi Putaton Jaya. Saya mahu melihat koperasi di kampung-kampung ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pembangunan Dakata Sabah Berhad, Michael Fadilah Raio, merakamkan penghargaan kepada kerajaan, Datuk Ewon, SKM dan ANGKASA atas sokongan terhadap koperasi mereka.

“Dengan adanya Program SejaTi Madani ini, kami dapat membantu komuniti koperasi kami menjana pendapatan.

“Kami juga akan berusaha membesarkan lagi projek ini agar lebih ramai ahli mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai belia di Sabah menceburi bidang perniagaan melalui platform koperasi kerana ia terbukti mampu menjana pendapatan secara bersama dan berterusan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles