KOTA KINABALU: Dalam suasana santai tetapi penuh makna, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama inovasi sosial dan akar umbi, khususnya di negeri Sabah.
YIM yang ditubuhkan sejak Oktober 2008 bukanlah entiti yang berorientasikan keuntungan, sebaliknya berfungsi sebagai platform pembangunan inovasi tempatan yang memberi impak kepada aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar. Turut diperkenalkan hari ini ialah dua anak syarikat milik penuh YIM, iaitu YIM Professional Services (YPS) yang menyediakan perkhidmatan acara dan YIM Technology Resources bagi solusi teknologi.
Menurut Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif YIP berkata, pendekatan yayasan ini unik kerana memfokuskan kepada aplikasi teknologi dalam setiap model perniagaan atau inovasi sosial yang disokongnya.
“Mandat kami ialah untuk mengenal pasti inovasi akar umbi, membangunkannya, dan memadankan dengan pembiayaan yang sesuai. Kita cari, kita bantu dan kita bimbing ke arah pemerkasaan,” katanya.
Salah satu kisah kejayaan dari Sabah yang mendapat perhatian ialah Puan N. Antah, pengasas jenama Cantik Borneo, yang telah membina nama melalui usaha memperkenalkan motif-motif kontemporari berasaskan budaya etnik Sabah dalam bentuk pakaian dan kraf moden.
Pada tahun 2013, Cantik Borneo menerima bantuan awal melalui geran pembangunan SME Corp dengan kerjasama YIM sebagai pelaksana projek.
Ketika itu, Puan N. Antah mengetengahkan idea unik menghasilkan boneka berpakaian tradisional Sabah, dan melalui sokongan YIM, beliau menerima mesin digital pertama bagi memperluas operasinya.
“Dari sebuah idea kreatif, kini berkembang menjadi jenama komersial yang membawa identiti budaya Sabah ke persada lebih luas. YIM terus menyokong beliau dalam fasa komersialisasi terkini agar Cantik Borneo mampu menembusi pasaran yang lebih besar,” tambah wakil YIM.
Kisah seperti Cantik Borneo menjadi bukti bahawa inovasi sosial yang berasaskan teknologi dan warisan budaya boleh menjadi pemangkin pembangunan komuniti jika disokong dengan platform dan pembiayaan yang tepat.
Melangkah ke hadapan, YIM komited untuk terus menjadi jambatan antara pencipta inovasi dan peluang sebenar. Negeri Sabah, dengan kepelbagaian etnik dan kekayaan tradisi, dilihat sebagai antara lubuk idea inovatif yang berpotensi besar untuk diketengahkan secara nasional dan global.