SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir hari ini turun padang meninjau kerja-kerja baik pulih di Pangkalan Bit Polis Seguntor, Batu 8 Sandakan yang terjejas akibat insiden kebakaran pada bulan September tahun lepas.
Kebakaran yang berlaku telah merosakkan sebahagian ruang pejabat di pangkalan tersebut, sekali gus memberi kesan kepada operasi harian pihak polis di kawasan berkenaan.
Dalam lawatan tersebut, Suhaimi mengambil maklum berhubung kerosakan yang dialami serta menzahirkan komitmen untuk membantu mempercepatkan proses baik pulih demi memastikan kelancaran tugas anggota polis yang menjadi barisan hadapan menjaga keselamatan penduduk setempat.
“Saya amat menghargai peranan dan pengorbanan anggota polis dalam menjaga ketenteraman awam. Oleh itu, keperluan prasarana mereka harus diberikan perhatian serius,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan anggota keselamatan tidak boleh dipandang ringan, dan sebarang kekangan logistik perlu diselesaikan dengan segera agar tidak menjejaskan tahap keselamatan komuniti.
Suhaimi turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi walaupun berdepan kekangan kemudahan sementara waktu ini.
