Medan pertempuran PRN17 tertumpu pengundi muda dan pengundi atas pagar -Salleh

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berpendapat medan sebenar pertempuran dalam saingan pilihan raya negeri ke-17 (PRN17) tertumpu kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar.

Menurutnya golongan itu tidak terikat dengan mana-mana parti, tetapi mereka peka terhadap isu, prestasi dan persekitaran semasa.

“Untuk mendekati mereka, parti politik mesti membawa mesej yang jelas, menangani isu kehidupan sebenar, dan menawarkan visi masa depan yang boleh diyakini — bukan sekadar slogan atau pengumuman yang bersifat sementara,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata
masa depan Sabah tidak boleh disandarkan kepada retorik semata-mata.

“Ia memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang mantap, dan komitmen yang ikhlas untuk berkhidmat — bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Pilihan raya yang bakal tiba ini adalah saat untuk semua pihak — baik parti mahupun rakyat — membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina sebuah Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan tidak lama lagi.

“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana penggal semasa hampir tamat dan pilihan raya mesti diadakan tahun ini mengikut peruntukan undang-undang,” kata Salleh.

Bekas menteri persekutuan itu berkata suhu politik di Sabah semakin meningkat, parti-parti dan para pemimpin mula bergerak aktif — bertemu rakyat, menganjurkan program, dan mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ini perkara lumrah menjelang pilihan raya.

“Namun realitinya, ramai rakyat sudah pun membuat keputusan. Mereka tahu siapa yang sentiasa turun padang, siapa yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya, dan siapa yang benar-benar memahami denyut nadi kehidupan harian mereka,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles