KOTA MARUDU: Kerajaan negeri sentiasa komited dalam usaha memperkasa syiar Islam dengan memperkukuh institusi masjid serta mempererat perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya umat Islam di negeri ini.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata, Islam bukan sekadar agama yang diwarisi, tetapi satu amanah yang perlu dihayati, dipertahan dan dikembangkan oleh semua pihak.
Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya sentiasa menyokong program-program yang bersifat pendidikan, dakwah, pembangunan sahsiah dan pengukuhan jati diri umat.
“Masjid pula bukan sekadar tempat solat berjemaah, tetapi harus menjadi pusat ilmu, medan perpaduan dan benteng rohani masyarakat.
“Kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan, akan terus menyalurkan bantuan dan sokongan bagi memperkasa peranan masjid agar terus relevan sebagai institusi yang mendidik dan menyatukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Kota Marudu di Masjid At-Taqwa Kota Marudu di sini hari ini.
Menurut Redonah, kerajaan negeri yakin apabila umat Islam kuat dari segi ilmu, kukuh dari segi perpaduan dan mantap dari segi akhlak, maka negeri dan negara kita juga akan kuat, stabil dan diberkati.
“Saya menyeru kepada seluruh masyarakat Islam di daerah Kota Marudu ini, khususnya para belia, wanita dan pendidik agar terus berganding bahu, memanfaatkan majlis ilmu seperti ini, dan menjadikannya sebagai obor untuk menerangi perjalanan hijrah kita ke arah kebaikan yang lebih besar.
“Hijrah, bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi lebih kepada simbol kekuatan spiritual, pengorbanan, dan transformasi diri yang berterusan”, katanya.
Jelasnya, semangat hijrah harus sentiasa dijadikan inspirasi untuk kita memperbaiki diri, menyatukan hati, dan menguatkan ukhuwah dalam menghadapi cabaran zaman.
Beliau mengharapkan melalui Mahrajan ini, pembangunan ilmu di daerah ini akan terus subur dan berkembang, menjadi cahaya penerang kepada masyarakat Islam di Kota Marudu
Kata Redonah majlis seperti ini bukan sekadar peristiwa tahunan, tetapi menjadi pemangkin kepada lahirnya masyarakat berilmu, berakhlak dan berwawasan.