PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan peruntukan khas menteri sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan kelengkapan pasar berkenaan.
Peruntukan itu disampaikan semasa kunjungan hormat persatuan itu ke pejabat beliau di Putrajaya, diketuai oleh Presiden Persatuan Nelson Entap dan disertai ahli jawatankuasanya.
Dalam pertemuan itu, Ewon diberikan taklimat ringkas mengenai operasi Pasar Budaya Borneo, atau lebih dikenali sebagai Tamu Borneo, yang diadakan setiap hari Sabtu serta perancangan masa depan oleh pihak persatuan.
“Saya berkongsi inisiatif-inisiatif kementerian untuk penjaja, peniaga kecil dan usahawan tamu, termasuk inisiatif khas untuk Sabah dan Sarawak seperti projek Tamu Desa, BEEP Plus, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, dan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf.
“Kita juga ada platform seperti Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan serta sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan bagi mengiktiraf sumbangan golongan ini,” katanya.
Ewon berkata, peruntukan RM50,000 itu diberikan atas permintaan persatuan semasa sambutan Pesta Kaamatan Putrajaya Mei lepas, khusus bagi pembelian kanopi tambahan dan kelengkapan lain di tamu itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pasar Borneo, Nelson Entap merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon atas sokongan berterusan terhadap pembangunan Pasar Borneo.
“Setakat ini, terdapat lebih 70 peniaga dari Sabah dan Sarawak yang berniaga di pasar ini. Ramai yang memohon untuk berjualan di Pasar Borneo tetapi kami hanya memilih peniaga yang menjual produk-produk dari Borneo,” katanya.
Timbalan Presiden persatuan, Nilisip Juin turut menyatakan penghargaan atas jemputan mengadakan pertemuan itu.
“Bantuan yang diberikan oleh Datuk Ewon amat bermakna bagi kami untuk mengembangkan lagi Pasar Borneo dan menjadikannya sebagai platform mempromosikan produk serta makanan tradisional dari Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana, pelanggan atau pengunjung di Pasar Borneo ini bukan hanya dari Borneo, tetapi juga dari Semenanjung,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat Persatuan untuk menambahbaik suasana pasar dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan dan nyanyian artis-artis tempatan Sabah dan Sarawak bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Bendahari Persatuan, Endang Anak Udol, turut menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan oleh Datuk Ewon.
“Sumbangan ini amat bermakna untuk memperkasakan lagi Pasar Borneo sebagai wadah memperkenalkan budaya dan produk dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Katanya lagi, Pasar Borneo Seri Kembangan kini menjadi medium utama masyarakat Sabah dan Sarawak di Semenanjung membeli produk-produk tempatan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan tradisional dari kedua-dua negeri itu.
“Ini secara tidak langsung mempromosi dan memperkenalkan budaya atau makanan tradisional masyarakat kita kepada masyarakat di Semenanjung terutamanya mereka yang belum pernah berkunjung ke Sabah dan Sarawak,” katanya.