TUARAN: Usaha menambah baik infrastruktur kawasan DUN Kiulu, termasuk pemasangan lampu solar LED jalan-jalan kampung, menjadi antara isu diberikan tumpuan untuk kemudahan rakyat sekiranya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)
diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.
Naib presiden KDM Gundohing Henry Saimpon berkata langkah itu selaras dengan aspirasi dan wawasan “parti original Sabahan KDM” yang komited untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar negeri ini.
“Berdasarkan maklum balas, masih banyak kampung-kampung di DUN Kiulu yang
berdepan masalah jalan gelap dan memerlukan lampu jalan, terutama lampu solar.
“Orang-orang kampung terbabit berpendapat ketiadaan lampu jalan solar bukan sahaja menyukarkan penduduk untuk bergerak pada waktu malam, tetapi juga boleh menimbulkan risiko keselamatan. Memang ada juga jalan-jalan kampung yang ada kemudahan ini tetapi kita mahu perluaskan lagi.
“Kata orang sediakan payung sebelum hujan, dan sebab itu KDM Kiulu turut memberikan fokus kepada penyediaan lampu solar LED ini sekiranya diberikan mandat,” katanya.
Henry yang juga Ketua Penyelaras KDM Kiulu dan bekas bintang bolasepak Sabah berkata demikian dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Beliau berkata mungkin ada pihak yang cenderung mempersoalkan kemampuan KDM melaksanakan projek pemasangan lampu solar LED itu meskipun diberi mandat dalam PRN akan datang.
Menurut Henry, projek Lampu Jalan Kampung (LJK), pemasangan lampu LED sudah lama dilaksanakan secara meluas dengan jayanya membabitkan jalan-jalan kanpung di semenanjung.
“Jadi, saya rasa tiada sebab projek seumpama ini tidak boleh diperluaskan atau dilaksanakan di DUN Kiulu…inilah antara wawasan saya buat penduduk Kiulu… saya percaya kalau ada kemahuan pasti ada jalan untuk merealisasikannya,” katanya.
