TUARAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan memfokuskan usaha untuk menangani masalah bekalan air, khususnya isu tekanan air rendah di Tenghilan dalam kawasan DUN Tamparuli jika diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Naib presiden KDM Dr Gaim James Lunkapis berkata berdasarkan maklum balas penduduk Tenghilan, masalah tekanan air rendah (air tidak dapat naik tangki) itu bukan baharu malah berlaku sejak beberapa dekad yang lepas.
“Rata-rata penduduk Tenghilan mengadu bahawa mereka sudah banyak kali merayu kepada pihak kerajaan untuk memperbaiki keadaan sebelum ini namun tidak ada perubahan ketara yang boleh dibanggakan.
“Sebab itu, KDM sedia membantu mencari jalan penyelesaian holistik masalah ini jika diberi mandat demi kebaikan bersama,” katanya.
Dr Gaim yang juga Ketua Penyelaras KDM Tamparuli berkata demikian ketika mengulas beberapa siri lawatannya ke kampung-kampung di Tengilan baru-baru ini.
Beliau berkata tekanan air rendah itu merupakan antara isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk di situ.
Dr Gaim yang juga bekas pakar sosio ekonomi UMS berkata turut diajukan ialah masalah infrastruktur termasuk gangguan bekalan elektrik dan jalan-jalan kampung.
“Sudah tiba masanya rakyat DUN Tamparuli melakukan perubahan demi masa depan yang cemerlang gemilang dan terbilang,” katanya.