ADUN Sindumin cadang bina jalan raya hubungkan Sabah-Indonesia menerusi Long Pasia Sipitang – Kalimantan Utara

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin mencadangkan kepada Kerajaan untuk membina jalan raya yang menghubungkan Sabah dengan Indonesia menerusi Long Pasia, Sipitang dan Kalimantan Utara.

Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ini sesuai dengan kewujudan Heart of Borneo (HOB) yang menjadi titik pertemuan antara tiga wilayah Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Pada masa ini, katanya, bekalan keperluan di Lun Bawang di Kalimantan Utara diterima daripada Lawas Sarawak…jadi kalau jalan raya ini kita bina akan memberi limpahan ekonomi kepada Sipitang disebabkan juga di Kalimantan Utara ini banyak hasil bumi seperti arang batu dan biji emas.

“Adalah lebih ekonomi kalau jalan raya daripada Kalimantan Utara tembus ke Long Pasia dan ke Sipitang terutama di Sipitang kini sudah ada Pelabuhan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

“Lebih dekat membawa barang ke Sipitang daripada Kalimantan Utara berbanding ke Pontianak yang jaraknya lebih kurang 700 kilometer (km) atau ke Tarakan leih kurang 400 hingga 500 km,” katanya pada soalan tambahan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Tambah beliau, sempadan antara Sabah dan Kalimantan Utara begitu panjang kalau cuma satu jalan raya dibina dari Kalabakan Tawau ke Semanggaris.

Katanya, oleh kerana Indonesia sudah membangun sempadan ini dari Tarakan hingga ke Pontianak, memang terdapat keperluan kajian dilakukan untuk menambah jaringan menghubungkan jalan raya dari Sabah ke Kalimantan Utara Indonesia.

“Ketika ini Kalimantan ada penduduk 17 juta…Kalau digabung Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam kita 23 juta penduduk. Bila ada Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan akan ada 12 juta penduduk, keseluruhan penduduk di Kalimantan berjumlah 30 juta,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya Kerajaan melihat perkara ini dan melakukan perundingan antara Sabah, Sarawak dan Indonesia untuk menjadikan HOB sebagai satu wilayah baru atau bandaraya baru.

Ini kerana, katanya, di Kalimantan Utara banyak hasil dan memberi manfaat kepada Sabah dan juga Sarawak melalui Pelabuhan SOGIP yang akan dibina tidak lama lagi.

Pada masa sama, Dr Yusof berkata, beliau tidak menghalang pembinaan jalan raya yang akan menghubungkan Sabah dengan Indonesia tetapi berharap pembinaan jalan raya dari Siipitang, Long Pasia ke Kalimantan disebabkan banyak produk dari Kalimantan Utara boleh dibawa ke Sipitang menerusi Pelabuhan SOGIP yang boleh memberi limpahan ekonomi untuk Sipitang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles