KOTA KINABALU: Pasukan Kadayan Sarawak muncul juara pasukan Edisi Ke-8 Kejohanan Golf Kadayan Se-Borneo di Sutera Harbour Golf & Country Club, hari ini.
Tuan rumah kali ini, Pasukan Kadayan Sabah ditempat kedua, manakala juara tahun lalu, Pasukan Kadayan Wilayah Persekutuan Labuan di tempat ketiga.
Pasukan Kadayan Sarawak merangkul Piala Pusingan pada kejohanan yang disertai 144 pemain golf yang turut disertai Pasukan Kadayan Negara Brunei Darussalam.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) yang dianjurkan secara bergilir-gilir membabitkan tiga wilayah dan negara Brunei Darussalam.
Pada kejohanan itu, Pengurus Sabah adalah Datuk Seri Panglima SR. Safar Untong, Arni Yahya (Sarawak), Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Dato Zaimi Talip (Brunei Darussalam).
Pada tahun depan, Sarawak akan menjadi tuan rumah kejohanan itu dengan penyerahan bendera kejohanan pada majlis penyampaian hadiah oleh Presiden PAADIAN Datuk Dr Yusof Yacob kepada Arni.
Dr Yusof selaku Presiden PAADIAN ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah berkata, penganjuran kejohanan ini lebih kepada menyatu dan merapatkan hubungan kaum kadayan di tiga wilayah itu dan negara Brunei Darussalam.
Katanya, kejohanan sukan merupakan antara satu platform digunakan bagi merapatkan hubungan kaum kadayan di tiga wilayah dan negara Brunei Darussalam selain menerusi acara kebudayaan, kesenian dan pelancongan.
Menurutnya, pada kejohanan seterusnya, pihaknya menyasarkan pembabitan pasukan Kadayan dari Kalimantan, Indonesia.