KOTA KINABALU: Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah hari ini turun padang bagi menyampaikan sumbangan jaket dan aksesori keselamatan kepada 50 orang nelayan di Pulau Gaya, selepas agihan yang sama sebelum ini di Sembulan dan Tanjung Aru.
Pengerusi MACMA Sabah, Dr Ritchie Jay Cheng berkata sumbangan itu, antara lain bertujuan membantu golongan nelayan di DUN Tanjung Aru.
“Usaha ini dilakukan secara konsisten bagi membantu nelayan turun ke laut dengan lebih selamat, sekaligus membuktikan komitmen kami menjaga kebajikan komuniti nelayan Tanjung Aru yang menjadi nadi ekonomi Sabah,” katanya.
Dr Ritchie berkata demikian selepas menyempurnakan jaket keselamatan itu.
Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Bahagian PGRS N22 Tanjung Aru berharap agar kawasan itu akan terus membawa suara komuniti pesisir dan nelayan ke peringkat kerajaan negeri.
Dr Ritchie berkata ini memastikan kebajikan golongan nelayan kekal terpelihara kerana potensi ekonomi pesisir dapat dimanfaatkan secara konsisten demi masa depan Sabah yang lebih sejahtera.
“Kami sentiasa mendengar keluhan rakyat, termasuk golongan nelayan dan bersedia menolong mereka demi kebaikan bersama,” katanya.