KUNAK: Daerah Kunak bakal menyaksikan transformasi besar-besaran menerusi pembangunan projek mega Kunak New Township, inisiatif berimpak tinggi yang diilham dan diperjuangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Hajah Norazlinah Haji Arif.
Meliputi kawasan seluas 107 ekar di Simpang 4, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembukaan peluang pekerjaan dan penyediaan kemudahan moden bagi penduduk setempat, khususnya golongan belia dan keluarga muda.
“Kita tidak boleh tunggu segalanya sempurna untuk mula bekerja. Inilah tekad saya sejak diberi amanah oleh rakyat Kunak – memastikan daerah ini tidak terus dipinggirkan daripada arus kemajuan negeri,” kata Norazlinah.
Menurutnya, Kunak New Township dirangka sebagai sebuah kawasan pembangunan holistik yang merangkumi tiga zon utama – komersial, perumahan dan industri ringan.
Katanya, Zon Komersial yang memilki restoran dan kedai dua tingkat, hypermarket, panggung wayang, stesen minyak, terminal bas moden, zon perumahan, 278 unit rumah teres, 83 unit rumah berkembar, Zon Industri Ringan dan 37 lot perindustrian yang bakal menarik pelaburan dan membuka peluang pekerjaan.
Norazlinah berkata, satu mesyuarat khas pembentangan projek telah diadakan baru-baru ini yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bersama agensi teknikal dan pihak berkepentingan.
Mesyuarat itu bertujuan menyelaras pelaksanaan projek, termasuk mengenalpasti keperluan teknikal dan fasa pembangunan awal.
Antara yang hadir ialah Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak, Mohd Nazri Pintal, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mahasitah Amin, wakil pemaju-Amazing Synergy Sdn Bhd dan firma arkitek-Innotech Design Architects Sdn Bhd, diketuai oleh Ar. Sim Sie Hong.
Katanya, tarikh rasmi pelaksanaan projek akan diumumkan tidak lama lagi, tertakluk kepada kelulusan teknikal dan penyediaan tapak.
Norazlinah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas sokongan penuh terhadap pembangunan seimbang di seluruh negeri.
“Di bawah pimpinan Hajiji yang progresif, banyak projek yang dulunya dianggap mustahil kini menjadi kenyataan. Kunak New Township juga menerima sokongan strategik menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (PGRS),” tambah beliau.
Norazlinah menegaskan bahawa projek ini adalah sebahagian daripada visinya untuk memastikan Kunak berdiri setaraf dengan daerah lain yang lebih maju di Sabah.
“Kalau bukan kita yang perjuangkan Kunak, osiapa lagi? Saya akan terus bekerja, terus bawa suara rakyat Kunak ke depan. Ini janji saya,” tegasnya.
Dengan pelaksanaan Kunak New Township, satu era baharu pembangunan bakal bermula di pantai timur Sabah – menandakan langkah berani ke arah masa depan yang lebih cerah buat seluruh warga Kunak.