KDM Inanam harap rayuan air bersih penduduk kampung perbukitan Menggatal diberi perhatian

KOTA KINABALU: Selepas berpuluh tahun bergantung penuh kepada bekalan air graviti, ratusan penduduk di puluhan kampung di kawasan perbukitan Menggatal merasakan bahawa sudah tiba masanya mereka menikmati bekalan air bersih dan terjamin.

Ketua Penyelaras Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Bahagian Inanam Datuk George Guntarik berkata ketiadaan bekalan air bersih terawat merupakan antara isu utama yang dibangkitkan oleh penduduk di situ dalam siri lawatannya ke kampung-kampung berkenaan baru-baru ini.

“Rata-rata penduduk, termasuk di Kg Tenggiling, menyuarakan harapan agar pihak kerajaan melakukan anjakan paradigma dan menyediakan peruntukan untuk laksanakan projek bekalan air bersih di kawasan perbukitan menggatal.

“Adalah sukar untuk dibayangkan masalah mereka kerana selain air graviti mereka bergantung kepada air hujan semata-mata bagi aktiviti harian -mandi dan basuh – dan bila tiba musim kemarau menyukarkan lagi kehidupan mereka.

“Menurut penduduk kampung, waktu hujan air graviti pula kabut. Mereka sudah banyak kali merayu kepada pihak kerajaan untuk bantu mereka namun sampai sekarang rayuan mereka masih tidak mendapat reaksi positif,” katanya.

George berkata demikian dalam hantaran terbaharu di media sosial.

Katanya beliau turut menerima aduan mengenai isu tanah-tanah kampung yang belum diwartakan secara rasmi.

Beliau berkata kebanyakan kampung-kampung terbabit sudah lama didiami majoritinya “orang Bumiputera”, dan berharap rayuan mereka sewajarnya diberi perhatian.

“Begitu juga dengan jalan kampung di situ, jalan-jalan kampung kecil dan sempit dan wajar dinaiktaraf demi kebaikan bersama,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles