KOTA KINABALU: Setiausaha Agung parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Willie Jude Junaidi berkata, membantu parti itu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) adalah lebih penting berbanding melobi untuk menjadi calon.
Katanya, ramai yang bertanya malah mencadangkannya untuk turut bertanding pada PRN kali ini, tetapi buat masa ini, katanya, beliau lebih memilih untuk membantu parti secara keseluruhan.
“Keutamaan saya bantu parti dulu, bantu bakal-bakal calon untuk menguatkan kedudukan mereka di kawasan masing-masing, tapi untuk turut jadi calon… itu nanti dulu.
“Saya menyertai KDM kerana yakin dengan perjuangan parti ini untuk rakyat Sabah, bukan semata-mata mahu jadi calon atau mengintai jawatan dan apabila saya diberi kepercayaan untuk memegang jawatan setiausaha agung, saya anggap ia satu tanggungjawab besar yang perlu saya galas dengan baik.
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk parti, terutama dalam persediaan menghadapi PRN17, ini penampilan pertama kami dalam pilihan raya negeri, sudah pasti kami mahukan keputusan yang terbaik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Willie berkata, sebagai pengamal media sejak hampir 20 tahun lalu, beliau akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu parti.
Katanya, ‘terjun’ ke gelanggang politik secara serius bukanlah satu keputusan mudah dibuatnya, tetapi demi meneruskan perjuangan rakyat yang selama ini dilakukan menerusi ‘mata pena’.
“Sebelum ini, saya banyak membantu masyarakat dari segi penulisan…dipuji serta dicaci itu perkara biasa, dan kini saya akan teruskan perjuangan membantu rakyat, mungkin dengan pendekatan yang sedikit berbeza,” katanya.
Willie bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk turut disenaraikan KDM sebagai calon namun menegaskan ia terserah kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
“Terus terang saya katakan, buat masa ini saya belum berhasrat (menjadi calon) dan memberi keutamaan dalam membantu parti, tapi dalam politik apapun boleh berlaku, mungkin juga (jadi calon) kan?
“Apa yang lebih penting ialah kemenangan parti pada PRN17 nanti, saya yakin KDM kini berada di landasan betul untuk mencipta kejutan,” katanya lagi.
Willie yang kini menetap di Inanam antara individu disebut-sebut untuk menjadi calon KDM di kawasan berkenaan selain ahli perniagaan, Datuk George Guntarik yang kini menjadi Ketua Penyelaras KDM Inanam.
Terdapat juga desas-desus yang beliau akan kembali ke tempatnya membesar iaitu di Keningau untuk menjadi calon di salah satu kawasan DUN di situ.