Oleh SM
KOTA KINABALU : Tuduhan melibatkan ADUN Sabah berkait lesen cari gali mineral seperti tidak masuk akal jika dilihat dari sudut sebenar kronologi kes jelas seorang pengamal undang-undang.
Dari segi perundangan, menurut Dr Ritchie Jay Cheng ketika ditanya berkenaan isu semasa yang hangat melanda ketika ini, beliau berkata, musim pilihan raya semakin hampir dan tidak hairanlah jika pelbagai isu dan tuduhan mula timbul, termasuk tuduhan rasuah terhadap beberapa wakil rakyat Sabah.
“Kita perlu sedar, dalam musim pilihan raya, isu-isu dicipta dan sering dijadikan alat politik oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan reputasi pemimpin kerajaan.
Kita sebagai rakyat yang rasional dan berpegang kepada prinsip keadilan, kita harus ingat bahawa setiap individu berhak kepada proses keadilan sebelum dijatuhkan hukuman dengan mahkamah sebagai penentu.
Tuduhan kononnya ada sogokan wang kepada para menteri dan timbalan menteri semata-mata untuk mendapatkan lesen carigali sebenarnya tidak masuk akal.
“Lesen carigali adalah bidang kuasa jabatan teknikal dan agensi khusus, bukan diputuskan yang melibatkan kebanyakan kementerian.
Tuduhan ini ibarat seseorang yang ingin memohon lesen menjual telur tetapi cuba merasuah seorang Juruletrik atau seorang doktor gigi atau penjual durian untuk mendapatkan kelulusan, sedangkan mereka tiada kuasa langsung dalam proses tersebut,” katanya.
Jelas, tuduhan seperti ini mewujudkan persepsi bahawa terdapat konspirasi terancang untuk menjatuhkan kerajaan, menurutnya lagi.
“Bagi pandangan peribadi saya, jika tiada niat untuk mempengaruhi keputusan, maka kes pendakwaan adalah lemah.
Kedua, jika tuduhan berlaku kerana ada orang tertentu yang sengaja memujuk atau mengumpan seseorang untuk memerangkap tertuduh supaya mengambil wang, sedangkan orang itu sebenarnya tidak mahu atau tiada niat untuk melakukannya, maka pertuduhan boleh digugurkan kerana idea itu datang daripada orang yang memujuk, bukan orang yang kena tuduh.”