Anak jati Sabah dilantik CEO baharu INSKEN    

CYBERJAYA: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), mengumumkan pelantikan Viviantie Sarjuni sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Viviantie berpengalaman lebih 20 tahun dalam syarikat multinasional (MNC) dan agensi kerajaan serta mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi, inovasi dan kreativiti. 

Berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan sosial, beliau pernah menghabiskan setahun enam bulan di Scotland untuk mendalami ekosistem inovasi sosial di Eropah dan juga berkhidmat selama empat tahun dengan sebuah syarikat berpangkalan di Albuquerque, New Mexico, Amerika Syarikat, yang memperkukuhkan pemahamannya tentang pelbagai ekosistem global.

Sebelum menyertai INSKEN, Viviantie pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC). 

Kini beliau masih memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Ekonomi di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan juga sebagai Presiden Alumni Chevening Malaysia (2024–2026).

Viviantie juga telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah seperti Kindness & Leadership 50 Leading Lights In The Asia Pacific 2024, Wiki Impact – 100 Changemakers In Malaysia 2024, Sabah’s 100 Most Inspiring Women  dan banyak lagi. 

Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta seluruh warga kerja INSKEN mengalu-alukan pelantikan Viviantie dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang telah memberikan persetujuan lantikan tersebut.

Pelantikan Viviantie diharap dapat memperkukuh pengurusan dan gerak kerja INSKEN, selain memperkasakan ekosistem keusahawanan negara dalam membantu usahawan mikro dan informal untuk kekal berdaya saing serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan usahawan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles