TANJUNG ARU : Sabah yang terkenal dengan hasil laut segar, dan para nelayanlah yang memastikan industri ini terus hidup, jelas Ahli Jawatankuasa Bahagian PGRS N22 Tanjung Aru Dr Ritchie Jay Cheng.
Beliau berkata demikian seusai menyampaikan sumbangan jaket dan lampu keselamatan kepada 50 orang nelayan di Tanjung Aru petang tadi.
Inisiatif ini bertujuan untuk membantu nelayan turun ke laut dengan lebih selamat.
“Hari ini, PGRS N22 Tanjung Aru meneruskan usaha menyampaikan sumbangan life jacket dan lampu keselamatan secara konsisten kepada 50 nelayan lagi di Tanjung Aru dalam Fasa Kedua, bagi membantu nelayan turun ke laut dengan lebih selamat.
Inisiatif seperti ini belum pernah dilakukan sebelum ini di kawasan ini, dan ia menunjukkan komitmen kami untuk menjaga kebajikan para nelayan secara berterusan,” ujarnya lagi.
Ritchie yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah berkata, langkah ini selari dengan penubuhan Majlis Ekonomi Biru Sabah oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri Sabah untuk membangunkan sektor perikanan dan pelancongan secara mampan.
“Tanjung Aru bukan sekadar kampung nelayan, tetapi juga kawasan pelancongan penting dengan dua padang golf hotel bertaraf lima Bintang,” jelas beliau lagi.
Adalah difahamkan bahawa 50 orang lagi nelayan di Pulau Gaya akan menerima sumbangan yang sama pada Fasa Ketiga nanti.
 
			 
		