KUALA LUMPUR: SME Bank, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melancarkan lima inisiatif baharu menerusi Belanjawan 2025 bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Lima inisiatif tersebut ialah MySMELady 2.0, Dana Kelestarian Alam, Pembiayaan Ekosistem Payung, Maju Usahawan MADANI dan Itekad Ishraf 4.0, yang masing-masing disasarkan untuk memenuhi keperluan khusus PMKS berdasarkan sektor, segmen dan kumpulan sasar.
Majlis pelancaran inisiatif Belanjawan 2025 kendalian SME Bank itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.
Ketika berucap, Ewon berkata pelaksanaan program-program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melalui SME Bank dan KUSKOP dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara yang inklusif dan lestari.
“Inisiatif-inisiatif ini sudah pastinya akan menyumbang kepada pemerkasaan usahawan PMKS selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP bersama agensi-agensinya komited bukan hanya menyediakan pembiayaan kepada usahawan, malah turut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, inovasi, tadbir urus dan akses pasaran.
Beliau turut menegaskan bahawa institusi kewangan pembangunan seperti SME Bank memainkan peranan penting dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI untuk memperkukuh daya saing dan kelestarian usahawan tempatan.
“Apa yang dilancarkan hari ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan setiap sen yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 memberi impak terus dan bermakna kepada rakyat, khususnya golongan usahawan.
“Melalui inisiatif-inisiatif ini, saya yakin lebih banyak PMKS berpeluang meningkatkan kapasiti perniagaan, meneroka pasaran baharu serta menyesuaikan diri dengan keperluan semasa termasuk aspek digital, hijau dan eksport,” katanya.
Menurut beliau, PMKS merupakan tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara, merangkumi hampir 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia. Oleh itu, usaha memperkasa sektor ini kekal sebagai keutamaan KUSKOP.
Ewon berkata, KUSKOP akan terus memacu agenda pemerkasaan usahawan dan koperasi sejajar dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI dan DKN 2030.
“Sepanjang tahun 2024, sebanyak RM9.58 bilion telah disalurkan kepada lebih 300,000 usahawan dan koperasi menerusi lebih 50 skim pembiayaan mikro kredit, geran keusahawanan dan pinjaman mudah yang merangkumi pelbagai latar belakang perniagaan, termasuk wanita, belia dan komuniti luar bandar,” jelasnya.
Katanya lagi, agensi-agensi di bawah KUSKOP, termasuk SME Bank, turut melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi meningkatkan daya tahan dan keupayaan PMKS di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Antara inisiatif utama tersebut termasuk Program Business Exports Programme (BEP) dan Program Pembangunan Kapasiti & Keupayaan Vendor (PPKV) yang dikendalikan SME Bank di bawah seliaan KUSKOP, yang telah banyak membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat global.