Fasiliti Daif Anggota Keselamatan di Pantai Timur Sabah Perlu Diberi Keutamaan – Suhaimi

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir menegaskan bahawa kebajikan anggota keselamatan di Pantai Timur Sabah tidak seharusnya dipandang ringan, sebaliknya perlu menjadi keutamaan nasional.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada isu keadaan fasiliti pasukan keselamatan yang daif dan tidak selesa di beberapa pos kawalan di Pantai Timur Sabah, seperti yang dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 15 April lalu.

Antara laporan yang diterima termasuk ketiadaan bekalan air bersih, tandas yang rosak serta kediaman anggota keselamatan yang uzur dan tidak layak didiami.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka terus berkorban demi keselamatan negara tanpa memberikan fasiliti asas yang memadai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Suhaimi menyifatkan keadaan itu sebagai amat membimbangkan kerana ia melibatkan barisan hadapan negara yang bertugas di kawasan sempadan berisiko tinggi.

Tambah beliau, aspek kebajikan dan kemudahan anggota keselamatan merupakan elemen kritikal dalam menentukan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan mereka dalam melaksanakan tugas di lapangan.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan supaya segera mengambil langkah serius menaik taraf kemudahan dan infrastruktur keselamatan di kawasan sempadan, termasuk di kawasan Parlimen Libaran.

“Saya juga komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam meneliti, memantau dan memastikan setiap pengumuman pembangunan atau peruntukan benar-benar sampai dan dilaksanakan secara telus, adil dan berkesan di lapangan,” katanya.

Beliau menyeru agar semua pihak melihat isu keselamatan sebagai tanggungjawab bersama dan menjaga kebajikan petugas keselamatan sebagai satu maruah negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles