Mampukan PKR kekalkan status quo di DUN Inanam?

KOTA KINABALU: DUN Inanam yang terletak di pinggiran Bandaraya Kota Kinabalu merupakan antara kubu kuat PKR di Sabah.

Dalam dua pilihan raya negeri (PRN) yang lepas, PKR yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) mencatatkan kemenangan bergaya di DUN campuran itu.

Dalam PRN 2020, calon PKR Peto Galim  meraih 8,586 undi dengan majoriti 5,638, jauh meninggalkan 9 calon lain.

Dalam perkiraan kertas, PKR atau PH tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan status quo DUN Inanam.

Namun senario politik di Sabah telah berubah dan persoalannya sekarang ialah mampukah PKR meraih kemenangan ‘hattrick’ pada PRN 2025?

Aktivis masyarakat dan pemerhati politik Sabah, Dr Kanul Gindol ketika dihubungi Jesselton Times berpendapat DUN Inanam bakal menjadi antara kawasan tumpuan pada PRN kali ini.

Selain PKR, katanya dua parti pembangkang yang disebut-sebut amat berminat bertanding di Inanam dan sedang memuktamadkan calon ialah Warisan dan KDM.

Para pemerhati berpendapat siapa saja calon yang Warisan letak di Inanam kali ini bakal menerima sokongan majoriti Cina dan Bumiputera Islam memandangkan trend peralihan dari parti Malaya ke parti lokal sedang melanda Sabah.

Kanul mengakui jalan penyandang Adun Inanam, Peto, mempertahankan kerusi Inanam bukan mudah.

“Pada PRN tahun 2020 calon PKR menang di semua lokaliti Cina Inanam, dan walaupun kalah teruk di kawasan Kadazandusun kepada PBS ketika itu, Peto tetap menang dengan majoriti 5,638 undi.

“Namun kali ini, keadaan sedang berubah cepat. Tapi ini politik, apapun boleh terjadi. Contohnya perpecahan undi antara KDM dan Warisan boleh juga mengakibatkan parti ketiga seperti PKR menang,” katanya.

Ditanya kemungkinan Warisan meletakkan seorang rakan aktivisnya Daniel John Jambun sebagai calon Warisan di Inanam, Dr Kanul berkata beliau tidak dapat menjawab bagi pihak Daniel tapi mengetahui itu tidak mustahil berlaku jka ia keputusan Warisan.

“Walaupun saya rakan yang agak rapat dengan Daniel, saya tidak pernah dengar setakat ini yang Warisan akan meletakkan beliau calon di Inanam. Saya sendiri tidak pernah dengar Daniel mahu bercalon tiket Warisan di Inanam. 

“Memang dia sangat aktif dengan grassroot di Inanam, setakat itu saya tahu. Jika Warisan pilih Daniel calon, pandangan saya jika itu tugasnya, saya rasa dia sedia membantu. 

“Saya sendiri tidak “privy” apa kedudukan mereka saya hanya sibuk dengan program “literasi politik” yang saya kendalikan,” kata Dr Kanul.

Sambil berkata beliau sendiri ada mendengar beberapa nama disebut sebagai antara bakal calon di Inanam, selain Warisan, juga dari KDM malah GRS atau PBS.

Salah satu nama disebut-sebut para pemerhati ialah bekas Adun PKR Inanam, Datuk Dr Roland Chia, yang kini Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga pemimpin kanan PGRS Inanam. 

Roland dikatakan sedang didesak penyokongnya supaya bertanding Bebas di Inanam jika PKR terus bercalon di Inanam.

Dua nama yang sering disebut bakal calon KDM di Inanam pula ialah Setiausaha Agung parti itu, Willie Jude dan ketua penyelaras KDM Inanam George Guntarik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles