Desas-Desus PBS Kehilangan Kerusi DUN Matunggong Terlalu Awal dan Tidak Berasas

 Oleh Dr Jikat Binol Darimbang

KOTA MARUDU: Dakwaan kononnya Parti Bersatu Sabah (PBS) bakal kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong kepada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dalam pilihan raya akan datang disifatkan sebagai spekulasi yang terlalu awal dan tidak berasas.

Perbandingan antara PBS dan PKDM dalam konteks khidmat dan pencapaian adalah ibarat langit dan bumi. 

Wakil rakyat PBS bagi DUN Matunggong, Datuk Julita Majungki, telah membuktikan komitmennya melalui pelbagai usaha membangunkan kawasan tersebut. 

Dari aspek pembangunan infrastruktur, pendidikan, kebajikan rakyat hingga kepada pemerkasaan ekonomi setempat, PBS kekal konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat di Matunggong.

Sebaliknya, PKDM dilihat hanya ghairah meraikan kemenangan sebelum gelanggang dibuka. 

Politik bukan sekadar retorik atau sorakan kosong, tetapi diukur melalui rekod perkhidmatan dan kepercayaan rakyat yang terbukti. Keupayaan seorang pemimpin dinilai berdasarkan hasil kerja dan kesungguhan dalam membawa perubahan positif, bukan sekadar janji.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Ruslan Muharam, turut menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak wajar. 

Menurut beliau, ketika ini PKDM sendiri sedang berdepan pergolakan dalaman yang boleh menjejaskan kekuatan dan fokus parti tersebut.

“Spekulasi seperti ini tidak memberi manfaat kepada rakyat. Apa yang lebih penting adalah rekod perkhidmatan dan siapa yang benar-benar bekerja untuk kemajuan Matunggong. Rakyat bijak menilai dan keputusan sebenar akan dibuat di peti undi kelak,” kata seorang penduduk Kg Tinangol yang tidak mahu dikenali.

Sehubungan itu, PBS tetap yakin dengan sokongan padu rakyat Matunggong yang telah merasai hasil perjuangan dan perkhidmatan tulen parti selama ini. 

Tumpuan akan terus diberikan kepada agenda pembangunan dan membela kepentingan rakyat tanpa terpengaruh dengan permainan persepsi dan politik murahan.

Dalam politik, kepercayaan rakyat tidak diraih dalam sehari, ia dibina melalui usaha berterusan dan keikhlasan dalam berkhidmat. PBS, khususnya melalui kepimpinan Datuk Julita Majungki, kekal sebagai pilihan yang relevan dan diyakini di DUN Matunggong.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles