Jangan abaikan hubungan dengan akar umbi – Sentiasa dengar rintihan, keluhan, harapan rakyat – Dr Victor

BINGKOR: Pemimpin parti disemua peringkat termasuk tiga sayap parti iaitu wanita, pemuda dan beliawanis bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) disini hendaklah sentiasa mendengar rintihan, keluhan dan harapan rakyat.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Dato’ Dr Victor Peter Paut berkata, hanya dengan memahami denyut nadi rakyat, strategi dan gerak kerja dapat disusun dengan berkesan, terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 yang bakal menjelang dalam masa terdekat.

“Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, hubungan dengan akar umbi tidak boleh sekali-kali diabaikan,” katanya semasa berucap dan merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Bingkor Tahun 2025, di Hotel Perkasa Keningau pada Ahad, 22 Jun 2025.

Persidangan itu turut dihadiri Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bingkor, Datuk Jasri Matjakir, barisan ahli jawatankuasa bahagian, pergerakan wanita, pemuda dan beliawanis.

Dr Victor turut menggesa pemimpin dan ahli parti bahagian Bingkor agar bersedia dari sekarang bukan hanya dari sudut logistik atau jentera, tetapi juga dari segi kesatuan dan semangat perjuangan.

“Kita mesti pastikan bahawa rakyat melihat Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu pilihan yang stabil, bersatu dan mampu membawa kemajuan berterusan”, katanya.

Dalam konteks ini, Beliau mengajak pemimpin dan ahli parti untuk terus mengukuhkan hubungan serta saling membantu dan bekerjasama dengan parti-parti komponen dalam GRS.

Dr Victor juga menggesa ahli Gagasan Rakyat Bingkor untuk terus memberikan kepercayaan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.

“Sebagai ahli yang setia kepada parti adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri.

Di bawah pimpinan beliau, kita telah melihat banyak pembaharuan, pembangunan dan kestabilan yang mula dinikmati rakyat negeri ini,” katanya.

Mengenai persidangan itu, Dr Victor berkata, ia bukan hanya medan laporan dan perbincangan, tetapi medan memperkukuhkan iltizam dan semangat juang.

“Saya yakin bahagian Bingkor di bawah pimpinan sedia ada akan terus cemerlang, bersatu dan menjadi contoh kepada bahagian-bahagian lain,” katanya.

Kehadiran saya hari ini bukan sahaja sebagai pemimpin parti dari Tambunan, tetapi juga sebagai rakan seperjuangan dalam keluarga besar Parti Gagasan Rakyat Sabah, khususnya di kawasan pedalaman yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah dan kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PGRS Bahagian Bingkor kerana berjaya menganjurkan persidangan tahunan ini dengan penuh semangat dan komitmen.

“Ini adalah bukti bahawa jentera parti di peringkat akar umbi masih kukuh, tersusun dan sentiasa bersedia menggalas amanah parti demi masa depan negeri Sabah yang lebih baik,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles