TUARAN: Naib presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Gundohing Dr Gaim James Lunkapis menzahirkan sokongan terhadap cadangan netizen agar jalan laluan kenderaan alternatif dibina atau kekalkan jambatan Sungai Damit yang lama sehingga jambatan baharu siap.
Menurutnya langkah itu penting bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya yang tidak perlu lagi berpusing dari pekan Tuaran melalui Berungis dan pekan Tamparuli untuk balik ke pekan Tuaran.
“Mungkin cadangan ini melibatkan sedikit tambahan kos…namun harus diingat kerajaan bukan sahaja perlu ambil kira faktor keselamatan pengguna, tetapi juga kepentingan dan keselesaan para pengguna jalan raya.
“Ini kerana ramai kalangan mereka (pengguna) yang sentiasa berulang alik setiap hari dari pekan Tuaran ke kampung Sungai Damit melalui laluan jambatan itu.
“Sebab itu, KDM turut menyokong penuh bailey bridge dibina demi kebaikan semua pihak dan pada masa sama keselematan pengguna sentiasa diberi perhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib memaklumkan bahawa
jambatan Pekan Tuaran ke Sungai Damit bakal dirobohkan selepas kajian yang dibuat mendapati strukturnya tidak selamat untuk digunakan.
Hanifah Hajar dipetik sebagai berkata bahawa sebuah jambatan baharu akan dibina di lokasi yang sama bagi menggantikan jambatan tersebut.
Susulan itu, netizen memberikan reaksi pelbagai dan mengharapkan jambatan lama dikekalkan sehingga jambatan baharu siap dibina.
