Pengusaha resort Kinabatangan sambut baik inisiatif ESSCOM jamin keselamatan di ESS Zone

KINABATANGAN:  Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited bersama-sama para pengusaha resort dan pusat pelancongan untuk memperkukuh jaminan keselamatan dan kesejahteraan rakyat khususnya kepada pelancong dan masyarakat setempat di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Komitmen ini dizahirkan oleh Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail bin Kamarudin mewakili Komander ESSCOM melalui Program Perjumpaan dan Sesi Dialog Bersama Pengusaha Resort/ Pusat Pelancongan dan Agensi Berkaitan yang diadakan baru-baru dekat sini.

Program bertujuan menerangkan mengenai situasi keselamatan di ESS Zone yang telah semakin mengukuh kepada pemain industri pelancongan bagi memastikan keyakinan pelancong terutamanya yang berhasrat mengunjungi daerah ini berada pada tahap yang optimum. 

Pengukuhan keselamatan ini adalah hasil daripada inisiatif-inisiatif keselamatan dan kesejahteraan berterusan yang dikoordinasi oleh ESSCOM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim  Malaysia (APMM), Jabatan dan agensi persekutuan dan negeri serta masyarakat setempat yang sentiasa memberi sokongan padu kepada ESSCOM.

Seramai 40 pengusaha resort telah hadir ke program ini dan diberi taklimat mengenai keadaan semasa keselamatan di ESS Zone.

 Melalui perjumpaan ini, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai maklumat inisiatif keselamatan yang dilaksanakan agensi ini antaranya termasuklah pemerkasaan koordinasi rondaan dan operasi keselamatan, perolehan aset strategik dan taktikal, pembinaan pos-pos baharu dan mekanisme penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan ESS Zone serta pencapaian paling signifikan agensi ini iaitu mengekalkan rekod sifar kes penculikan untuk wang tebusan di perairan ini sejak 15 Januari 2020. 

Di samping itu, pengukuhan kesejahteraan hubungan awam-pasukan keselamatan melalui program libat urus dan peningkatan sosioekonomi masyarakat di bawah ESSCOM telah berhasil mengukuhkan pembangunan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan penciptaan peluang di Sabah Timur seiring agenda nasional di bawah aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Dalam pada itu, penerangan berkaitan perkembangan aktiviti pelancongan dan tindakan penguatkuasaan telah disampaikan masing-masing oleh pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Sabah. 

Turut diadakan sesi dialog yang membolehkan peserta berinteraksi secara terus dengan penganjur khususnya dalam menambah baik aspek perkhidmatan hospitaliti, kesedaran pencegahan jenayah, keselamatan diri dan harta benda pelancong (safety) serta saling bertukar-tukar pengalaman mengurus pelancong yang melawat ke kawasan Sukau, khasnya.

Encik Suhailie Kahar dari Sukau Rainforest Lodge antara pengusaha resort yang hadir memberikan reaksi positif berkenaan program ini berkata situasi perairan ESS Zone telah semakin terkawal di mata pelayar-pelayar antarabangsa hasil daripada pelbagai inisiatif pengukuhan keselamatan oleh ESSCOM dan pasukan keselamatan yang lain.

“Acara tahunan rali kapal layar Program Sail Malaysia Passage To The East yang dikoordinasikan ESSCOM telah berjaya membawa mesej kepada masyarakat antarabangsa bahawa perairan Sabah Timur yang terletak di ESS Zone adalah selamat.” Selain itu, “inisiatif sebegini berhasil mengembalikan keyakinan serta meningkatkan kehadiran pelancong-pelancong asing sekali gus menjana pendapatan, aktiviti ekonomi dan menggiatkan penglibatan masyarakat setempat dalam sektor eko-pelancongan, katanya semasa sesi dialog tersebut.”

Seterusnya, para pengusaha resort dan pusat pelancongan telah diseru untuk menjadi “mata dan telinga” bagi pasukan keselamatan dengan sentiasa peka dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. 

Kerjasama ini penting untuk membantu pasukan keselamatan beroperasi secara optimum di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan sempadan perairan negara. Sehubungan itu, masyarakat di sini boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kinabatangan, YBhg. Tuan Halidun bin Salleh; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut, Laksamana Pertama Maritim Abd. Razak bin Mohamed; Ketua Staf Bahagian Siasatan Khas dan Teknikal, SAC Ahmad bin Ariffin dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt. Ravi A/L Duraisamy

Related Articles

253FansLike

Latest Articles