Mokran Desak Kerajaan Segerakan Pembinaan Muka Sauk Baharu di Sungai Kinabatangan

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Mokran Ingkat menggesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan agar menyegerakan pelaksanaan cadangan pembinaan muka sauk (intake) baharu di Sungai Kinabatangan, yang akan disalurkan terus ke Loji Rawatan Air Segaliud, dalam usaha menjamin bekalan air bersih yang lebih stabil dan mencukupi kepada penduduk Sandakan dan Libaran.

Menurut beliau, langkah ini amat penting berikutan krisis bekalan air yang semakin meruncing di beberapa kawasan terutamanya dalam DUN Sungai Manila yang berdepan masalah tekanan air rendah, bekalan terputus sejak sekian lama dan isu air masin yang pernah berlaku sebelum ini.

“Isu bekalan air ini bukan masalah baharu. Penduduk sudah lama bergelut dengan gangguan dan ketidakstabilan. Muka sauk baharu dari Sungai Kinabatangan ini amat penting kerana ia membolehkan loji rawatan menerima bekalan air mentah yang lebih stabil dari segi kapasiti dan kualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembinaan muka sauk tersebut akan melibatkan pemasangan paip utama dari Sungai Kinabatangan ke Loji Rawatan Air Segaliud serta kerja-kerja menaiktaraf sistem pengagihan air sedia ada ke kawasan terjejas. Projek ini disasarkan untuk mengatasi kekurangan sumber air mentah yang kini membebankan operasi Loji Segaliud, sekali gus meningkatkan liputan bekalan air kepada ribuan penduduk di Sandakan dan Libaran.

Mokran turut merujuk kenyataan Menteri Kerja Raya Sabah pada Mei 2023, yang memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pemindahan muka sauk dari lokasi sedia ada ke Sungai Kinabatangan atau Sungai Meliau. Menurutnya, cadangan ini akan dilaksanakan secara berfasa melalui kajian teknikal terperinci dan berkemungkinan dimasukkan dalam Rolling Plan ke-5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Namun, beliau mengingatkan kerajaan agar tidak menangguhkan pelaksanaan dan tidak menjadikan cadangan ini sekadar dokumen semata-mata.

“Kerajaan jangan hanya meletakkan cadangan ini di atas kertas. Kita bercakap tentang hak rakyat – air bersih adalah keperluan asas dan bukan lagi satu pilihan,” tegasnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran menegaskan bahawa kelewatan pelaksanaan akan hanya memburukkan keadaan, terutama dengan pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan kawasan Libaran termasuk kawasan perumahan PPR, sekolah, serta pusat kemasyarakatan.

“Masalah ini sudah saya bangkitkan berkali-kali dalam sidang Parlimen dan DUN. Rakyat Libaran sudah terlalu lama menunggu. Kita tidak mahu projek ini tinggal dalam perancangan, kita mahu tindakan segera,” katanya lagi.

Mokran berharap agar semua pihak yang terlibat dapat menunjukkan komitmen yang tinggi demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk tidak terus terjejas akibat kelemahan sistem bekalan air yang berlarutan sejak bertahun-tahun.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles