Oleh yussof j. imbang
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, membayangkan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) hampir pasti menjadi kenyataan bagi menghadapai Pilihanraya Umum Negeri (PRN-17).
” Keyakinan itu jelas memandangkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS telah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH, ” tegasnya.
Masiung berkata demikian, selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Inanam yang diketuai Datuk Dr Roland Chia di Dewan Masyarakat Menggatal, kelmarin.
Menurutnya, dalam masa sama, PH Sabah juga berpendirian menyokong kepimpinan dan pentadbiran Ketua Menteri yang juga pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagaimanapun katanya, kerjasama kedua-dua gabungan yang sedia terjalin itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS tidak lama lagi.
” Jika kerjasama ini dimuktamadkan, GRS dan PH bakal membentuk jentera bersama di setiap daerah bagi memastikan calon dalam muafakat GRS meraih kemenangan dalam PRN-17.
Mengulas lanjut Wakil Rakyat Kumaut itu menegaskan, GRS berkongsi pandangan yang sama dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menjalinkan kerjasama dalam PRN-17.
Masiung optimis, hubungan kerjasama GRS dan PH dalam kabinet Sabah pada masa ini cukup baik dan ia menjadi perintis kepada kestabilan politik di Sabah.
Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji bersedia menjadi perisai di barisan hadapan untuk memastikan calon yang menjadi muafakat GRS menang dalam PRN-17 nanti.