KUDAT: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menggesa semua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar terus memperkukuh kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS N5 Matunggong di Dewan Terbuka Pekan Matunggong kelmarin, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) bukan bertujuan menggugat kedudukan GRS, sebaliknya memperkukuhkan gabungan itu demi kemenangan bersama.
“Untuk menghadapi PRN, kita kena bersatu di bawah GRS”, katanya.
Menurut Dr Joachim, Kerajaan GRS adalah kerajaan prihatin terhadap masalah rakyat dengan pelbagai bantuan telah disalurkan dan juga kepada rakyat Matunggong seperti Program Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan Skim Insurans Rakyat Sabah, Inisiatif Pendidikan, projek pembinaan dan naik taraf jalan kampung serta pertanian dilaksanakan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyeru semua ahli PBS agar bersatu padu serta mengelakkan perpecahan demi memastikan kemenangan calon GRS di Matunggong.
Dalam ucapannya, Dr Joachim turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian PBS Matunggong, Datuk Julita Majungki dan Pengerusi Penganjur Majlis yang juga Setiausaha Bahagian Epson Kawahui, atas kejayaan menganjurkan mesyuarat tersebut yang dihadiri lebih 1,000 ahli serta pemerhati daripada parti-parti komponen GRS.
Katanya, PBS akan mewakili GRS di Matunggung dan beliau menyatakan sokongan penuh kepada Julita sebagai calon GRS bagi kerusi DUN Matunggong, dan menyeru semua ahli untuk memastikan kemenangan beliau.
“Saya juga berharap keahlian PBS di Matunggong akan terus bertambah,” katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Naib Presiden merangkap Ketua Pergerakan Exco Pemuda, Dr. Christoper Mandut; barisan Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian serta wakil daripada parti-parti dalam GRS dan para pemimpin setempat.