SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau tidak mengambil tindakan terhadap isu bekalan air di Kampung Rancangan Luboh, Sandakan.
Beliau menjelaskan, masalah ketiadaan air di kawasan tersebut bukan perkara baharu malah telah berlarutan sejak tujuh tahun lalu, melibatkan keseluruhan kawasan Sandakan termasuk Sungai Manila yang terletak berhampiran Sungai Manila.
“Saya faham keadaan ini. Pada 13 Jun 2025, saya telah menghadiri taklimat bersama jurutera air Daerah Sandakan dan dimaklumkan bahawa masalah air ini bukan hanya tertumpu di Kampung Rancangan Luboh, tetapi melibatkan sebahagian besar kawasan Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mokran, usaha telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu termasuk pemasangan tangki air berkapasiti 2,400 liter di kawasan Kampung Leboh pada tahun 2021. Tambahan tangki simpanan juga telah dicadangkan, namun permohonan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) tidak diluluskan kerana status beliau sebagai bukan ADUN kerajaan.
“Saya tidak mempunyai kuasa pelaksanaan penuh. Ini adalah batasan yang saya dan pihak pembangkang hadapi. Namun, usaha tetap diteruskan demi kepentingan rakyat,” tegas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Air Negeri Sabah sedang membina lima tangki air besar di sekitar Sandakan, namun kerja-kerja masih belum selesai. Masalah paip bocor apabila tekanan air meningkat turut menyumbang kepada kelewatan penyelesaian isu bekalan air.
“Masalah utama bukan kerana wakil rakyat tidak turun padang, tetapi kerana kegagalan struktur pelaksanaan di peringkat jabatan dan kerajaan. Saya mohon kenyataan tidak berasas yang mendakwa saya tidak melakukan kerja ditarik balik segera,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan jumlah lori pembekal air yang hanya dua buah untuk meliputi keseluruhan Sandakan, berbanding keperluan sebenar yang lebih tinggi.
Selain itu, Mokran berkata, beliau telah membawa pakar dari Institut SIRIM Kedah ke Sandakan untuk mencari penyelesaian alternatif, termasuk pemasangan loji rawatan air berkapasiti 2,000 liter sehari. Namun, cadangan tersebut terhalang akibat kekangan politik dan pentadbiran negeri.
“Saya anggap diri saya seperti pembangkang yang tiada kuasa penuh untuk melaksanakan inisiatif rakyat. Tetapi saya tidak pernah berhenti menyuarakan isu air ini dalam setiap sidang Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Libaran turut menyeru agar semua pihak termasuk jabatan dan kementerian berkaitan mengambil serius isu bekalan air, serta mempercepatkan pelaburan dan pelaksanaan penyelesaian jangka panjang bukan hanya bagi masalah air, tetapi juga isu pendidikan, elektrik dan jalan raya yang turut membelenggu rakyat Sandakan.
“Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan gambaran sebenar kepada masyarakat. Isu ini bukan isu baharu dan bukan tanggungjawab wakil rakyat semata-mata. Kerajaan harus bertindak dan melaksanakan tanggungjawab mereka,” tambahnya.