KUNAK: Bendahari Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menegaskan bahawa masa depan politik negeri ini tidak boleh terus dibelenggu oleh sentimen perkauman sempit atau perbalahan antara parti tempatan dan parti nasional.
Berucap dalam Pelancaran Program Radu Tatap Radu Peringkat Daerah Mengundi Pangi di Kunak hari ini, beliau berkata bahawa yang sepatutnya menjadi kuasa penentu dalam politik Sabah bukanlah jenama parti, tetapi suara dan aspirasi rakyat Sabah sendiri.
“Kita jangan terperangkap dalam perdebatan siapa lebih baik — parti tempatan atau parti nasional. Bagi saya, yang paling penting bukan label parti, tetapi siapa yang betul-betul membawa suara rakyat. Yang dominan mesti rakyat Sabah sendiri,” tegasnya.
Menurut beliau, parti hanyalah wadah, dan yang lebih utama ialah bagaimana wadah itu digunakan untuk memperjuangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat.
“Saya dari Barisan Nasional, parti nasional, tetapi saya percaya masa depan Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah. Kita harus pilih pemimpin yang bekerja untuk semua, bukan yang hanya mainkan sentimen sempit,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah, khususnya di pantai timur seperti Kunak, supaya menolak politik perkauman dan kebencian yang boleh memecahbelahkan perpaduan negeri ini.
“Kita perlukan wakil rakyat yang boleh bantu selesaikan masalah rakyat. Rakyat mahu penyelesaian, bukan retorik,” tambahnya.
Program Radu Tatap Radu ini menghimpunkan penduduk setempat dan pemimpin masyarakat akar umbi. Sambutan hangat yang diterima mencerminkan hasrat rakyat Sabah untuk melihat politik yang lebih matang, inklusif dan berpaksikan kehendak rakyat.
Sementara itu dalam ucapan perasmian nya, Datuk Yakub Khan Pengarah Program Radu Tatap Radu UMNO Sabah mengesa agar semua jentera ahli untuk bersiap sedia menghadapi pilihanraya negeri yang akan datang.
“Kunak telah nampak perubahan pembangunan mahupun di pekan atau di kampung sejak Barisan Nasional menerajui kerajaan negeri dahulu”, kata Khan yang juga ahli dewan undangan ngeri Sabah Karambunai.
Tambah beliau, “ini adalah peluang untuk mengembalikan Barisan Nasional sebagai wakil rakyat Kunak”.
Turut hadir dalam program ini ialah Datuk Raime Unggi Adun dilantik merangkap Ketua UMNO Tenom, Sharif Musa Ketua UMNO Lahad Datu, Hjh Musliati Muslimin Ketua UMNO Kota Kinabalu, Ghazalie Ansing Ketua UMNO Tawau, Samasuddin Yusop Ketua UMNO Kalabakan, Datuk Noraini Idris Ketua Wanita UMNO Sabah dan Sufian Abdul Karim Ketua Pemuda Sabah selain pemimpin tempatan.